Idris
(kanan) ketika menghadiri sesi taklimat mengenai petunjuk prestasi dan
pencapaian Unisza di Dewan Senat, Bangunan Pentadbiran Unisza, kampus
Gong Badak, semalam.
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius masalah pertukaran guru terutama melibatkan guru yang layak dan terlalu lama memohon serta akan mengkaji cara terbaik bagi menangani masalah itu.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, masalah permohonan terlalu lama dan masih belum diterima adalah masalah besar dihadapi kebanyakan guru.
“Isu mengenai pertukaran guru dilihat dalam konteks lebih besar. Antara negeri paling ketara berhadapan masalah ini ialah Kelantan, memandangkan bilangan guru lahir di Kelantan antara paling ramai,” katanya ketika lawatan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), kelmarin.
Menurutnya, kementerian tidak bermaksud meminggirkan mereka yang memohon sebaliknya, tiada kekosongan menjadi punca masalah itu.
“Di Kelantan jawatan guru perlu diisi di situ adalah 28,048 guru, bilangan guru lahir di Kelantan pula seramai 57,740 dan bilangan guru memohon balik kampung seramai 2,483, sedangkan kekosongan 179.
“Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh meletakkan guru tanpa mengikut keperluan dan kekosongan. Di Terengganu permohonan guru mahu pulang ialah 1,267 tetapi kekosongan ada 139, bermakna permohonan seramai 1,100 guru tidak dapat dilayan,” katanya.
Selain itu, katanya, di Kedah terdapat 1,523 permohonan guru ditukarkan di situ tetapi kekosongan cuma 274 dan bermakna, 1,200 guru tidak akan mendapat tempat.
“Tempat dan kekosong terhad dan bilangan guru mahu balik ramai. Jadi, masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat. Sebab itu saya ingatkan pengambilan guru adalah mengikut keperluan negeri masing-masing.
“Kekurangan guru Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik juga faktor guru-guru ini tidak dapat balik, malah menjadi punca kepada jarak jauh antara pasangan guru yang berumah tangga,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan teliti sekiranya berlaku keciciran dalam setiap permohonan.
“Kita akan berusaha tangani masalah ini dengan sebaik- baiknya," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai gaji guru lepasan ijazah pertama yang didakwa lebih tinggi berbanding pensyarah yang mempunyai pengalaman, beliau berkata, perkara itu mungkin jarang berlaku disebabkan guru berpengalaman layak mendapat gaji lebih tinggi berbanding pensyarah baru.
“Kalau guru dah lama berkhidmat, dah 30 tahun, mereka lebih layak dapat gaji lebih tinggi berbanding pensyarah baru.
"Tetapi jika sebaliknya, kita akan lihat balik perkara ini. “Kementerian peka sebarang perkara dan kita akan kaji serta pastikan semuanya akan diselaraskan. Ini adalah pandangan yang harus dilihat secara menyeluruh. Sebarang isu berbangkit, boleh dilihat secara menyeluruh,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.