SHAH ALAM : Pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) dijangka akan menjejaskan pendapatan seharian peniaga berikutan daya membeli pengguna semakin berkurangan.
Peniaga makanan dan minuman, Zamri Kassim, 50, berkata sekiranya GST dilaksanakan kelak, keuntungan harian yang diperoleh peniaga bakal merosot antara 20 ke 30 peratus disebabkan kekurangan pelanggan.
Katanya, pelaksanaan cukai itu sememangnya menguntungkan pihak kerajaan, namun membebankan pengguna dan peniaga yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Pada awalnya, kerajaan umumkan harga gula naik sehingga RM0.34 sen, sekarang hendak laksanakan GST pula. Perkara ini memang membimbangkan peniaga seperti kami.
“Kesannya peniaga akan mengalami kerugian kerana kebanyakan pelanggan lebih memilih untuk memasak dan tidak membeli makanan di luar lagi,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Zamri berkata, dia tidak akan menaikkan harga sesuka hati kerana kebanyakan pelanggannya adalah golongan pelajar.
Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2014 mengumumkan pengenalan serta mencadangkan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai salah satu langkah mengukuhkan pengurusan fiskal bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan, bermula April 2015.
Seorang lagi peniaga, Mohamed Mokhsin, 54, pula menyifatkan pelaksanaan GST bakal menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Sekiranya keadaan tidak dapat dikawal, saya terpaksa menaikkan harga barangan yang dijual, namun bukan secara mendadak. Orang berkemampuan tidak terasa dengan pelaksanaan cukai ini, tetapi golongan berpendapatan rendah pasti rasa terbeban,” katanya.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, menasihatkan peniaga, khususnya di Selangor supaya berfikiran kreatif dalam usaha memastikan produk mereka dapat dijual.
“Usahawan kita perlu kuat dari segi semangat juang kerana GST akan memberi banyak cabaran kepada mereka bila dilaksanakan kelak,” katanya.NFN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.