Rabu, 27 November 2013

Dr Rani disenangi bukan Melayu walau perjuang politik Islam

Oleh Hafizan Taib


DR ABDUL RANI OSMAN menempuh pelbagai cabaran sejak terpilih sebagai wakil rakyat Meru pada 2008 tetapi beliau menjadikannya sebagai penguat semangat untuk terus berjuang demi perubahan politik.

Pembabitan Pesuruhjaya PAS Selangor itu dalam politik menerusi PAS sejak 1999 bukan untuk mengangkat diri  tetapi menjurus kepada memperjuang politik berlandas Islam.

“Saya masuk PAS, sertai politik bukan untuk jadi calon, tidak pernah terfikirpun. Perjuangan menegakkan Islam itu menyeluruh dan bukan setakat sembahyang.

“Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan dan pentadbiran serta perlu dipraktikkan pemimpin demi kemakmuran rakyat,” katanya yang pernah tewas pada pilihan raya pada 2004 di DUN Meru.

Biarpun menghadapi masalah di peringkat awal sebagai Adun tetapi beliau cekal dan terus mencurah khidmat bakti tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau gembira lantaran segenap lapisan masyarakat di DUN Meru menerima kehadirannya dengan baik termasuk dari pemimpin dan penyokong parti lawan.

“Orang Cina dan India juga begitu dengan saya pernah diundang ke rumah ibadah mereka dan berbicara soal agama dengan baik,” katanya.

IMG_2763

Selaku Adun, Dr Rani mengenal pasti banjir sebagai antara masalah utama di DUN Meru tetapi yakin, lebih 70 peratus masalah banjir dapat diatasi melalui pelbagai usaha sejak lima tahun lalu.

Beliau berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang berusaha memastikan banjir dapat ditangani dengan berkesan.

“Antaranya menaik taraf longkang dan parit serta membina saliran konkrit melibatkan perumahan awam dan kawasan komersial,” katanya.

Selain itu, masalah jalan raya berlubang dan tidak rata di kebanyakan kampung juga diselesaikan melalui pelbagai kerja baik pulih.

Dalam membangunkan ekonomi rakyat pula, Dr Rani mendapati program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) banyak memberi manfaat kepada rakyat yang selama ini tidak diabai kerajaan BN.

“Mereka menikmati pelbagai skim seperti Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Skim Usia Mesra Emas (SMUE), Skim Kesihatan Wanita dan banyak lagi.

7

“PTRS bukan setakat orang Melayu tetapi Cina, India dan bangsa lain juga turut serta kerana mereka juga bukan dari keluarga yang berkemampuan.

“Begitu juga Jom Shopping, ramai peserta SMUE gembira kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendapat kemudahan macam ini,” katanya.

Dr Rani menyifatkan pendekatan Kerajaan Negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim itu wajar dipuji kerana rakyat memerlukan pemerintah yang mengutamakan rakyat.

Beliau berpendapat program seperti itu sepatutnya diperkenal lama dulu – ketika BN masih memegang tampok pemerintahan di Selangor.

Sungguh sibuk berbakti  dan sukar memperuntuk masa bersama keluarga, Dr Rani Osman tidak menganggap ia sebagai penghalang, bahkan ia mengerat lagi hubungan antara mereka.
ran 
 “Saya akui berubah sangat-sangat bila bergelar wakil rakyat. Sekarang jarang dapat bersama keluarga kerana masa banyak dihabiskan di luar.

“Sungguhpun begitu, sokongan terutama isteri serta anak dan adik beradik menguatkan saya untuk terus menjalankan amanah rakyat,” katanya.

Jika berkesempatan meluangkan masa bersama keluarga, Dr Rani akan membawa mereka menikmati hidangan  bersama-sama selain berkongsi kisah menarik.

“Dulu saya aktif dalam badminton dan bola sepak. Saya memang bagus dalam permainan bola sepak dan pernah mewakili universiti ketika di Mesir.

“Dengan anak-anak pula, saya gemar bermain ping pong untuk menguji kebolehan masing-masing,” katanya kini banyak menghabiskan masa terluang dengan membaca.

BIODATA
Umor : 55 Tahun
Tarikh Lahir : 14 April 1958
Tempat Lahir : Pelabuhan Kelang, Klang.
Kelulusan : M.B.Ch.B. (Ijazah Dalam Bidang Perubatan) Universiti Tanta, Mesir.
Email : abdulrani58@yahoo.com
Keluarga : berumahtangga dan mempunyai lima anak, seorang menantu dan seorang cucu.

Pengalaman bekerja :
- Pernah bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Umum Sarawak dan Pusat Kesihatan Kecil Puchong, Selangor.
- Pernah mengetuai Rombongan Perubatan Jemaah Haji Malaysia di Madinah Saudi Arabia.
- Kini bertugas di klinik persendirian, Klinik Fitrah, Meru.

Jawatan Pilitik :
- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru
- Pesuruhjaya Pas Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.