Sabtu, 30 November 2013
Bersih terus desak anggota SPR letak jawatan
Jawatankuasa baru Bersih 2.0 yang dipilih hari ini akan meneruskan tuntutan supaya semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan, kata Maria Chin Abdullah (gambar).
Pengerusi Bersih 2.0 yang baru itu juga melancarkan petisyen berhubung perkara itu yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Januari.
“Jika tuntutan kami tidak dipedulikan, kami tidak menolak untuk menganjurkan demonstrasi jalan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas pemilihan ahli jawatankuasa Bersih.
Maria menang tanpa bertanding sementara Dr Ahmad Farouk Musa menjadi timbalan selepas mengalahkan Syed Ibrahim Syed Noh dengan majoriti tujuh undi.
Ahmad mendapat 37 undi sementara Syed Ibrahim mendapat 30 undi.
Masjailiza Hamzah pula adalah bendahari Bersih 2.0 yang baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.