MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
IPOH: Bajet Perak 2014 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir tidak memberi harapan baru kepada rakyat negeri itu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan tidak prihatin serta serius untuk menyelesaikan permasalahan utama rakyat iaitu kos kehidupan yang semakin meningkat.
Rakyat Perak juga kata beliau mengalami masalah peluang pekerjaan yang sangat minimum dan ia tidak menjadi keutamaan kerajaan untuk menyelesaikannya.
"Apakah pengharapan orang Perak kepada belanjawan itu? Sebagai rakyat negeri Perak, apa harapan baru yang nak dipergantungkan kepada bajet itu? Tidak ada.
"Saya nampak bajet itu tidak memberi harapan baru kepada rakyat negeri Perak. Masalah rakyat negeri Perak yang besar tidak ditunjukkan cara penyelesaiannya," katanya ketika membuat sidang media selepas perbentangan Bajet Negeri Perak 2014 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, di sini semalam.
Beliau menyifatkan, kerajaan yang dipimpin oleh Zambry hanya meneruskan tradisi belanjawan defisit yang kali ini melebihi sehingga RM40.2 juta.
Kerajaan negeri juga katanya tidak mengemukakan pembaharuan dalam belanjawannya dan ianya masih mengikut 'stail' lama.
"Walaupun di penutup pembentangan, Pangkor (Zambry) kata bajet itu adalah penyuluh jalan untuk masyarakat, tapi tidak apa yang boleh disuluhkan kerana tiada ada bateri," jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Adun Changkat Jering itu menjelaskan, kerajaan juga gagal mewujudkan kaedah serta cara alternatif untuk menghasilkan dana baru bagi meningkatkan hasil negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.