Selasa, 26 November 2013

Anwar kritik Khalid dua kali, saya berkali-kali, kata Azmin

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


















Kritikan yang dilemparkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah teguran membina demi kebaikan pentadbiran kerajaan Selangor, kata Mohamed Azmin Ali (gambar).

Timbalan Presiden PKR itu berkata, kritikan yang dibuat Anwar semasa Kongres Khas PKR semalam juga bukanlah bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak berbeza dengan budaya parti pemerintah Umno.

"Dia (Anwar) dua kali, saya dah banyak kali (kritik)," kata Azmin apabila ditemui The Malaysian Insider di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.

"Teguran ini dibenarkan dalam Islam. Kita disuruh nasihat menasihati bagi perkara bertujuan baik, bukan meruntuhkan, tapi membina kekuatan yang lebih lagi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu berkata, teguran Anwar itu juga adalah untuk memastikan kekuatan yang lebih tinggi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

"Teguran itu satu teguran bertujuan meningkatkan prestasi sistem penyampaian selangor.

"Ia perlu dilihat secara positif untuk kebaikan pentadbiran. Ini penggal kedua, rakyat sudah beri mandat besar sudah tentu harapan mereka untuk memastikan prestasi dan penyampaian itu cukup tinggi," katanya.

Anwar semalam berkata, meskipun Abdul Khalid seorang "pendengar yang baik", beliau bagaimanapun "lambat melaksanakan arahan yang diberikan."

Ketua Umum PKR itu berkata, Abdul Khalid juga banyak tidak mengamalkan apa yang disarankannya.

"Dia adalah seorang sahabat yang paling setia mendengar berbanding pemimpin PKR yang lain. Tan Sri Khalid seorang yang paling patuh mendengar cuma paling lambat laksanakannya kadang-kadang.

"Saya tegur seorang pemimpin dengan perkara yang baik. Saya tegur supaya dia dapat baiki skru longgar sebelum ini," katanya dalam ucapan penutup Kongres Nasional Khas PKR 2013 di Shah Alam semalam.

Sementara itu, Abdul Khalid yang ditemui pemberita semalam tidak mengambil hati terhadap kritikan Anwar, sebaliknya menerima teguran berkenaan secara terbuka.

"Tiada (kecil hati). Baguslah. Saya tak jadi masalah.

"Ia perkara baik kerana nak jelaskan kepada rakyat, kami PR, terutamanya PKR ada perbincangan bagaimana kami mentadbir," katanya.

Abdul Khalid turut menjelaskan "kelewatannya" dalam melaksanakan sesuatu arahan adalah disebabkan sikap berhati-hati dalam mengurus dana rakyat.

"Saya implementor, saya perlu berhati-hati dalam implementasi. Setiap kali saya implement ia perlu berhati-hati. Ia (kritikan) bagus, kami tahu apa kami nak, kami perlu berhati-hati, ia duit rakyat.
"Apa niat baik kami tak menggambarkan apa yang sebenar," katanya.

Semalam, meskipun sindiran itu ditujukan secara terus kepada Abdul Khalid yang duduk berhampiran dengannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tetap memuji pentadbirannya di Selangor yang dilihat dapat mengurangkan pembaziran berbanding kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Anwar berkata, rekod pentadbiran Abdul Khalid lebih baik berbanding menteri besar di negeri lain dan menteri besar sebelumnya di Selangor.

“Bila kita tegur, kita lupa bahawa di bawah pemerintahan Selangor daripada segi kepimpinan, kewangan, agihan dan pembaziran jauh lebih terkawal yang bukan sedikit. Saudara boleh teliti akaun pengurusan ekonomi zaman Umno-BN dan zaman Pakatan Rakyat, perbezaannya terlalu jauh.

“Saya yakin dia tak curi wang, tak ambil balak, tak ambil tanah dan tak khianati amanah. Itu paling besar,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.