Ahad, 27 Oktober 2013

Tolak syariah umpama nafi kebijaksanaan Allah

Salmah Mat Husain,
 

PENGKALAN CHEPA: Menolak undang-undang syariah sama seperti menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku pentadbir alam ini, tegas  Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Menurut beliau, sekiranya umat Islam berani mengkritik undang-undang syariah sebagai ‘ketinggalan zaman’, mereka bukan sahaja mencabar kebijaksanaan Allah SWT malah boleh menjejaskan akidah sebagai seorang muslim.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Amal Ma’aruf Nahi Mungkar peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini, pagi tadi.

Hampir 2,000 orang hadir pada program yang dianjurkan Kerajaan Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan Sukarelawan Pendidikan Rakyat (Kawan).

Ustaz Ahmad menambah, sekiranya warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina, maka lebih besar kesalahannya jika orang Islam berani mengkritik undang-undang Allah.

“Dengan peningkatan gejala sosial yang menimpa negara ini yang begitu menakutkan,  peranan hudud wajib diambil kira.

“Persoalannya kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masaalah sosial, tidak lain kerana undang-undang yang ada tidak mampu untuk menyelesaikannya berbanding undang-undang Allah untuk pencegahan dan pendidikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Kelantan tidak pernah berputus asa untuk melaksanakan hukum syariah di negeri itu.

“Dengan ini saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan agar sama-sama bertanggungjawab meningkatkan kualiti iman di kalangan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, usaha perlu perlu digandingkan untuk menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan pendekatan masing-masing.

Turut berucap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Ustaz Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Hadir sama  bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Adun Chempaka, para anggota Exco, Adun, pemimpin PAS pelbagai peringkat dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.

Konvensyen dianjurkan sempena majlis sambutan ‘Hari Hududullah Negeri Kelantan’ dan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.