Rabu, 30 Oktober 2013

Muhyiddin Syukur Keluarga Azizan Terima Permohonan Maaf




YAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menerima permohonan maafnya berhubung kenyataan yang didakwa PAS menghina bekas Menteri Besar Kedah itu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menerusi pesanan anak kelima Azizan, Muhammad Rafi'iy yang dihantar melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pada pagi Rabu, dinyatakan bahawa keluarga Azizan menyambut baik permohonan maaf yang dibuatnya.

"Saya bersyukur kerana saya dapat teks anak Allahyarham yang menyatakan bahawa keluarganya menerima permohonan maaf daripada saya," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pengundi Cina di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

Menurut Muhyiddin lagi, melalui pesanan yang diterimanya, keluarga Azizan turut berharap agar isu tersebut tidak terus diperbesarkan.

"Beliau pun mengharapkan isu ini ini selesai sertatidak dibangkitkan dan dipolitikkan.

"Saya ucap terima kasih di atas penerimaan kenyataan maaf saya," katanya.

Pada Selasa Muhyiddin secara terbuka memohon maaf kepada keluarga Azizan berhubung kontroversi dakwaan kononnya beliau mempersenda kematian bekas Menteri Besar Kedah itu dengan penyakit kencing manis.

Menurut Muhyiddin, sebagai umat Islam beliau memohon maaf sekiranya kenyataannya menyinggung perasaan keluarga Azizan.

Kekelirun itu dijadikan modal kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan mendakwa kononnya Muhyiddin sengaja mempersenda Azizan apabila mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.