Bandar Diraja Klang akan mempunyai ikon pelancongan baharu apabila sebuah kuil Hindu berharga RM10 juta membuka pintunya kepada penganut agama itu dan pelancong menjelang pertengahan 2015.
Presiden Kuil Sri Sundararaja Perumal Klang S Anandakrishnan berkata kuil berkenaan, yang sedang dibina semula, merupakan kuil granit pertama di negara ini dan berpotensi untuk dimajukan sebagai ikon pelancongan bertaraf antarabangsa.
"Apabila kuil granit ini siap, perbincangan akan diadakan dengan Kementerian Pelancongan untuk memasukkkannya ke dalam kalendar pelancongan mereka sebagai tempat istimewa untuk kunjungan pelancong.
"Kami percaya kuil ini berpotensi menjadi daya tarikan pelancong dan mercu tanda menarik di Bandar Diraja Klang, yang boleh menarik ketibaan pelancong asing ke negara ini," katanya kepada Bernama.
Pembinaan kuil granit sepenuhnya yang disifatkan sebagai 'Thirupathi Asia Tenggara' ini menggunakan khidmat 50 pengukir batu serta keluarga mereka di Kanchipuram, 60km dari Chennai, India, untuk kerja menghasilkan ukiran.
Anandakrishnan berkata struktur granit kuil ini mengguna pakai secara terperinci formula reka bentuk yang menjadi amalan pembina kuil di selatan India sejak beribu-ribu tahun lepas.
"Penggunaan granit dipercayai membolehkan gegaran mantra yang dibaca bergema dengan lebih kuat," katanya sambil menambah bahawa pentahbisan kuil ini akan diadakan pada 9 Jun 2015.
Pada 2006, kuil ini dianugerahi persijilan ISO 9001:2000 kerana sumbangan berterusannya dalam bidang agama, budaya dan khidmat sosial kepada masyarakat Hindu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.