Khamis, 31 Oktober 2013

Isma bantah pembinaan kuil Hindu RM10 juta di Klang

OLEH DIYANA IBRAHIM























Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini membantah pembinaan semula Kuil Sundararaja Perumal di Klang yang memakan belanja sebanyak RM10 juta dengan menegaskan ia akan memberikan persepsi buruk kepada pelancong beragama Islam khususnya dari Timur Tengah.

Presiden Isma Abdullah Zaik Abdul Rahman (gambar) menyeru kerajaan mengambil tindakan wajar demi menjaga kesejahteraan hidup rakyat dan imej Malaysia di mata masyarakat Islam antarabangsa supaya tidak tercemar.

"Pembinaan seperti itu terkeluar daripada maksud Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama kerana ia telah melampaui tujuan sebenar peruntukan tersebut untuk menjamin hak beragama.

Justeru, kami menyeru Perdana Menteri, Menteri Perlancongan, kerajaan negeri dan tempatan agar peka dengan perkara ini ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan yang menyatakan Kuil Sri Sundararaja Perumal bakal menjadi mercu tanda dan ikon pelancongan di Klang.

Menurut Isma, Datuk Seri Najib Razak pernah berikrar untuk menegakkan hukum dan meninggikan syiar Islam dan oleh itu hasrat membesarkan pembinaan rumah-rumah ibadat melebihi keperluan, seperti atas nama tarikan pelancongan dilihat  bercanggah dengan ikrar tersebut.

Selain itu, Isma juga memandang serius usaha penganut agama lain yang cuba mengambil kesempatan meninggikan syiar agama masing-masing hingga mewujudkan persaingan agama yang tidak sihat tanpa menghormati hakikat Malaysia sebagai negara Islam.

Abdullah berkata, kemunculan terlalu banyak syiar agama kufur telah memusnahkan tanggapan masyarakat dunia yang sebelum ini 'berbunga-bunga' terhadap Malaysia selaku sebuah negara Islam contoh.

Isnin lalu, Presiden Kuil Sri Sundararaja Perumal S. Anandakrishnan berkata  Klang bakal mempunyai ikon pelancongan baru apabila sebuah kuil Hindu berharga RM10 juta, kuil granit pertama di negara ini.

Menurut Anandakrishnan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan untuk memasukkan  lokasi kuil tersebut ke dalam kalendar pelancongan agar tersenarai sebagai tempat istimewa untuk kunjungan pelancong.

"Kami percaya kuil ini berpotensi menjadi daya tarikan pelancong dan mercu tanda menarik di Bandar Diraja Klang dan juga pelancong asing," katanya.

Pembinaan kuil granit sepenuhnya yang disifatkan sebagai 'Thirupathi Asia Tenggara' ini menggunakan khidmat 50 pengukir batu serta keluarga mereka di Kanchipuram, 60km dari Chennai, India, untuk kerja menghasilkan ukiran.

Isma membantah pembinaan kuil RM10 juta di Klang kerana akan menghantar isyarat salah kepada pelancong Muslim. Gambar oleh Ananda Krishnan, 31 Oktober, 2013.Isma membantah pembinaan kuil RM10 juta di Klang kerana akan menghantar isyarat salah kepada pelancong Muslim. Gambar oleh Ananda Krishnan, 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.