Muhammad Faizal, |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Memorandum tersebut diserahkan di hadapan laluan masuk ke Parlimen, dalam masa yang sama lebih seratus orang hadir berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan GST yang dijangkakan akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perbentangan Bajet 2014.
Mahfuz dalam ucapan ringkas beliau menjelaskan pelaksanaan GST adalah satu yang tidak wajar dalam keadaan sekarang apabila rakyat dilihat berada dalam kesempitan ekonomi yang teruk.
Katanya lagi, jika kerajaan masih lagi berkeras untuk melaksanakan GST ia dilihat sebagai merompak duit rakyat tanpa kerelaan mereka.
"Saya melihat dalam keadaan rakyat yang terhimpin dengan keadaan ekonomi yang amat teruk selain kenaikan harga barang pelaksanaan GST ini adalah tidak wajar sama sekali.
"Dalam pada itu pelaksanaan GST ini juga umpama kita merompak duit rakyat tanpa kerelaan mereka, duit rakyat diambil tanpa mereka sedar," ucapnya.
Mahfuz yang menegaskan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat akan terus berbahas bagi menentang pelaksanaan GST jika kerajaan menyatakan hasrat mereka untuk melaksanakannya.
Beliau yang turut berterima kasih kepada Pemuda PAS yang menganjurkan himpunan aman sebagai isyarat membantah pelaksanaannya.
Sebelum itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan yang turut berucap bahawa GST ini tidak perlu dilaksanakan jika kerajaan berbelanja dengan lebih berhemah.
Jelasnya, kerana terlalu banyak ketirisan dan penyelewangan berlaku dalam perbelanjaan sekarang sehinggakan kerajaan terpaksa mengambil duit rakyat untuk menampung ketirisan tersebut.
"Bagi saya cukup jelas jika kerajaan dapat berbelanja dengan lebih berhemah, dapat mengawal ketirisan maka GST ini tidak perlu dilaksanakan.
"Tetapi sekarang ketirisan terus berlaku, wang rakyat dibazirkan begitu sahaja dan sebagai usaha untuk menampung ketirisan tersebut maka kerajaan mahu melaksanakannya bagi mengembalikan wang yang telah dibazirkan," ucap beliau.
Beliau yang turut menggesa agar kerajaan membatalkan hasrat pelaksanaan GST kerana tidak mahu rakyat yang berpendapatan rendah terus dibebani dengan pelbagai cukai.
Himpunan aman tersebut berlangsung dengan aman tanpa ada sebarang kekacauan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.