Kian Ming
KUALA LUMPUR - DAP hari ini mendesak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengambil tindakan disiplin ke atas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan yang dikatakan melanggar Tatatertib Peraturan-Peraturan Pegawai Awam.
Pengarah Strategi DAP, Dr. Ong Kian Ming mendakwa tindakan Fuad membuat "tweet" sebanyak 372 kali untuk menyerang Pakatan Rakyat (PR) dan 18 kali menyokong Barisan Nasional (BN)-Umno dari 2011 hingga 24 Oktober lalu telah melanggar peraturan tersebut sebagai penjawat awam.
"Beliau telah melanggar tatatertib tersebut dengan ketara apabila menggunakan akaun twitter @fuhas_tweet untuk menyerang parti dan juga pemimpin PR.
"Fuad juga menggunakan akaun twitter untuk menyokong dan berkempen untuk BN dan Umno dari segi politik, bukan dari segi polisi ataupun dasar," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan & Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik.
Antaranya pegawai tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada lisan atau bertulis, memberi pandangan yang berat sebelah atas perkara yang menjadi isu parti politik.
Selain itu, pegawai juga tidak boleh terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon pada suatu pilihan raya umum, pilihan raya kecil atau apa-apa pilihan raya untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.
Antara contoh tweet Fuad yang menyerang PR dan menyokong BN ialah '#Bersih3 – Lagi usaha DSAI untuk jadikan Dtrn Mdeka as Dtrn Tahrir Mesir. Yang menari ikut rentak DSAI akan tewas dlm prg saraf ini (27 April 2012)' dan 'Tertarik perjalanan pemilihan Umno kini: Teratur, kekeluargaan, pembahruan, lebih meakar umbi & penyertaan menyeluruh. Umno has transform! (8 Oktober 2013)'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.