Penduduk
menunjukkan bangkai kepala ikan berulat yang menjadi punca bau busuk
melanda kampung mereka sambil diiringi Abdul Yunus (kiri).
KUALA KURAU - Busuk dan meloyakan! Itulah yang ditanggung lebih 50 penduduk di Kampung Kedai Dua, di sini sejak seminggu yang lalu.
Bau kurang enak tersebut dipercayai datang dari sebuah kilang memproses makanan ikan berbentuk palet yang beroperasi berhampiran kediaman penduduk.
Penduduk, Zulkifli Anwar, 35, berkata, sebelum kilang tersebut beroperasi setahun yang lalu, pemiliknya memberitahu premis berkenaan menghasilkan makanan ikan menggunakan kiambang liar semata-mata.
Menurutnya, atas alasan itu penduduk bersetuju membenarkan kilang beroperasi di kampung tersebut sejak setahun lalu.
“Bagaimanapun, masalah bau busuk sering berlaku sejak kilang itu beroperasi menyebabkan kami curiga mengenai bahan sebenar digunakan mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan kilang tersebut, di sini, kelmarin.
Penduduk siasat punca bau
Akibat tidak tahan menanggung azab, penduduk, Jamhari Hassan, 50, bersama beberapa penduduk lain memasuki premis berkenaan dan tidak menyangka menemui tiga longgokan bangkai kepala ikan patin sudah berulat diletakkan di dalam tiga tangki besar yang diletakkan di bahagian belakang kilang berkenaan.
Menurutnya, selain tiga tangki tersebut mereka turut menjumpai longgokan usus ayam diletakkan di atas lantai dan ditutup menggunakan kanvas.
"Senario menjijikkan itu mencetuskan tanda tanya di dalam fikiran kami mengenai kelulusan premis berkenaan.
"Kami tertanya-tanya sama ada kilang tersebut mendapat kebenaran pihak berkenaan untuk beroperasi di kawasan penempatan penduduk atau tidak?" katanya.
Bau busuk terhasil daripada kilang tersebut membuatkan lebih 50 penduduk yang tinggal kira-kira satu kilometer dari premis tersebut hidup sengsara.
Penduduk, Talha Lokman berkata, akibat pencemaran bau itu, aktiviti harian penduduk terutamanya ketika makan terganggu malah turut mengundang kehadiran ribuan lalat ke kediaman mereka.
Tambahnya, selain masalah bau, tindakan pengurusan kilang membuang sisa kumbahan ke dalam parit berhampiran turut membimbangkan penduduk kerana ditakuti merosakkan tanaman padi yang diusahakan mereka.
"Parit itu digunakan sebagai sistem pengairan sawah padi dan penduduk takut air tercemar berkenaan mengundang kehadiran makhluk perosak dan sebagainya.
"Perkara itu sudah diadukan kepada pemilik premis, namun tiada tindakan susulan diambil sehingga hari ini," katanya.
Masalah dapat perhatian
Kesengsaraan ditanggung penduduk Kampung Kedai Dua mendapat perhatian Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.
Beliau turut memberi jaminan akan membuat aduan rasmi kepada Majlis Daerah Kerian (MDK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dan Kerajaan Negeri.
Selain Abdul Yunus, masalah berkenaan turut mendapat perhatian ahli majlis dan pegawai penguatkuasa MDK apabila mereka membuat pemantauan terhadap operasi kilang tersebut, kelmarin.
Ahli Majlis Daerah Kerian, K Rajindra berkata, pihaknya terkejut dengan keadaan premis yang tidak mencapai piawai kebersihan ditetapkan MDK.
Tambahnya, berdasarkan perbincangan dengan pemilik kilang, beliau difahamkan operasi premis itu bakal dipindahkan ke Kampar dalam tempoh tiga bulan.
“Pemilik kilang mengakui menghadap masalah tangani bau busuk akibat penggunaan bangkai kepala ikan untuk dijadikan baja kerana tiada peruntukan membeli tangki ais baru.
“Masalah itu ditambah dengan cuaca lembap akibat hujan sejak kebelakangan ini, bagaimanapun pemilik berjanji akan membersihkan premis dalam masa seminggu,” katanya.
Sementara itu, pemilik kilang, Darwin Lee ketika ditemui mengakui pihaknya berdepan masalah menangani bau busuk berkenaan.
“Bagaimanapun, kami memberi jaminan akan menyelesaikannya dalam masa seminggu.
“Kami juga akan berpindah ke premis lebih sesuai di Kampar setelah terlibat dengan satu projek kerajaan di sana, manakala premis di sini dijadikan stor simpanan sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.