Oleh Ain Ismail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 9 Januari depan untuk sebutan semula kes melibatkan tiga pemimpin KEADILAN termasuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa terlibat dalam Himpunan Bersih 3.0 tahun lalu.
Selain Anwar, Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard turut menghadapi pertuduhan sama.
Keputusan itu dibacakan Hakim Azman Mustapha di Kamar 5, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Pada 22 Mei tahun lalu, Anwar, Azmin dan Chegubard didakwa atas pertuduhan menyertai protes jalanan yang kononnya menimbulkan kekecohan di ibu negara.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sepanjang Jalan Tun Perak antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April tahun lepas.
Pertuduhan ke atas mereka mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000.
Himpunan aman Bersih 3.0 bertujuan bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.