DIAM tak diam, ini adalah kali ke-5 Datuk Seri Mohd Najib Razak membentangkan bajet negara atas kedudukannya selaku Menteri Kewangan.Maknanya sudah empat tahun lamanya dia memegang portfolio berkenaan.
Bagi seseorang dalam waktu sama memegang portfolio lain, apatah lagi selaku Perdana Menteri, apakah ada ruang bagi membolehkannya merancang ekonomi negara secara efektif?
Justeru menerusi empat bajet tahunan lalu apakah kita telah menyaksikan terlaksananya pelbagai transformasi dan perubahan positif lain dalam perlaksanaan?
Tanyalah masyarakat luar bandar – nelayan, petani, penoreh, pengusaha sendiri dan sebagainya – apakah kehidupan mereka mengalami ‘langkauan ke depan besar’ (a great leap forward) sebaik sahaja Najib melantik dirinya sendiri selaku Menteri Kewangan empat tahun lalu?
Selepas Abdullah Ahmad Badawi mempersiapkan pentas untuk Najib beraksi di persada kewangan negara, ramai meletakkan harapan kepada Najib, selaku pemimpin yang sekurang-kurangnya ada kefahaman asas tentang ekonomi dan untuk setidak-tidaknya memperbetulkan huru-hara ekonomi warisan Pak Lah.
‘Habuk pun tarak’
Kini setelah lima bajet, kita semakin faham, Najib lebih banyak menyembunyikan handicap kemampuannya dalam perancangan dan urus tadbir ekonomi negara di sebalik kata-kata dan tema berbunyi gah serta perkataan teknikal mengenai ekonomi yang boleh melopongkan mulut orang kampung. Walhal realitinyanya ‘habuk pun tarak’.
Bagi Bajet 2014 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lalu, berlatarbelakangkan keterujaan rakyat yang kian memudar serta keyakinan semakin terhakis, Najib berdiri di hadapan dewan penuh dan membentangkan bajet tahun depan dengan disangkakannya disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia menerusi siaran langsung.
Namun, besar kemungkinan Najib tidak menyedari zaman di mana rakyat begitu khusyuk mengikuti ayat demi ayat ucapan bajet telah lama berlalu. Malah kebanyakan mereka meneruskan apa juga tugas rutin masing-masing. Tidak kurang merasakan tidur lebih mendatangkan manfaat berbanding mengikuti ucapan bajet negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Najib membuka ucapannya dengan memetik sepotong ayat dari Surah A-Qasas. Tidak diketahui apakah matlamat dia berbuat demikian. Namun, tanpa mengulas atau menghuraikan maksud ayat dalam konteks bajet yang akan dibentangkan Najib memetik kata hikmah kononnya dari para pujangga. Sukar untuk memastikan pujangga mana dimaksudkan Najib atau apakah kata-kata tersebut hanyalah ciptaan beliau atau juga ciptaan penulis ucapannya.
Sebaliknya apa yang pasti, setelah ucapan berakhir, sebagaimana biasa dari peruntukan perbelanjaan sebanyak RM262.2 bilion, hanya pecahan kecil sahaja yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat. Paling ketara adalah BRIM dan pemberian tunai lain serta perubahan kepada siling pendapatan individu yang mewajibkan cukai pendapatan di bayar.
Pelepasan cukai
Bagaimanapun, penurunan sedemikian dilihat sebagai tidaklah memberikan impak ketara kepada golongan berpendapatan antara RM4000 hingga barangkali RM7000 sebulan yang mana mewakili antara sektor pendapatan terbesar buruh Malaysia. Malah pelepasan cukai pendapatan bagi 300,000 orang yang berpendapatan kurang dari RM4000 sebulan juga dianggap hanya memberi kesan paling marginal kepada ekonomi mereka.
Tidak sukar melihat bagaimana dana individu yang sepatutnya terselamat daripada membayar cukai berkanun ini akhirnya terpaksa juga digunakan dan ditambah lagi bagi menampung kenaikan harga barangan lain serta pengurangan subsidi bagi sesetengah barangan keperluan harian.
Sedia terkandung dalam Bajet 2014 adalah pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.34 kepada RM2.84 satu kilogram berkuatkuasa serta merta. Ini belum lagi mengambil kira cukai GST yang akan, menurut ucapan Najib, akan ditetapkan pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015.
Walaupun menurut Najib dalam ucapan Bajetnya itu pelaksanaan GST akan menghapuskan Cukai Jualan (6 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (10 peratus), tidak ada janji dan komitmen kerajaan tidak menaikkan cukai berkenaan dan tidak juga ada jaminan harga barangan dan perkhidmatan tidak dinaikkan.
Benar, kerajaan berjanji tidak menaikkan dan mengenakan cukai GST kepada sesetengah barangan utama seperti minyak masak, rempah, ikan masin, beras, tepung gandum dan sebagainya. Namun, sekali lagi tidak ada jaminan sekiranya barangan tersebut tidak mengalami kenaikan harga.
Ramai melihat sekiranya soal kenaikan harga adalah tidak berkaitan bagi barangan disebutkan itu, manfaat ekonomi yang boleh diterima oleh rakyat di peringkat individu bukan sahaja terlalu sedikit tetapi keperluan membayar cukai GST untuk barangan lain pada harga baru akan turut menjejaskan secara keseluruhannya. Tidak ada sesiapa di Malaysia menjalankan kehidupan dengan hanya beras, rempah dan ikan masin sahaja.
Untungkan peniaga dan warga korporat
Tanpa menyentuhkan persoalan kesukaran kerajaan memungut Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang dibayar terus oleh rakyat kepada peniaga tatkala pembelian dilakukan, rata-rata Bajet 2014, sebagaimana juga bajet tahun-tahun sudah, ia dilihat sebagai lebih banyak menguntungkan peniaga dan warga korporat. Turut disebut dalam ucapan bajet Najib ialah penurunan cukai korporat dari 25 kepada 24 peratus setahun.
Turut sama meraih manfaat dari Bajet ini sudah tentulah gologan individu dan perniagaan dalam sektor pembangunan termasuk pembekal, kontraktor dan sesiapa sahaja yang mungkin terlibat sebagai orang tengah dan sebagainya.
Untuk tahun fiskal 2014, kerajaan Najib memperuntukkan RM46.5 bilion untuk pembangunan, diterjemahkan sebagai pembinaan pelbagai infrastruktur, tidak kira sama ada bakal memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya, atau sebagai pelaburan golongan tertentu dalam bentuk pungutan tol lebuh raya atau laluan pintas.
Tanpa memberikan alasan jelas dan kukuh, Najib menganggarkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri lebih kukuh bagi tahun fiskal berkenaan di antara 5.0 hingga 5.5 peratus. Namun, angka ini mungkin sedap di dengar oleh rakyat luar bandar yang tidak berapa terdedah kepada realiti ekonomi Malaysia sejak, mungkin sedekad lalu. Namun, bagi mereka yang lebih bermaklum, dalam keadaan kini, negara boleh dikira bernasib baik sekiranya mampu mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus.
Barangan buatan atau dipasang di Malaysia dikatakan akan menikmati anjakan eksport pada kadar 2.5 peratus. Begitupun sebagai terbukti dalam bajet tahun sudah-sudah, unjuran ini lazimnya jauh dari sasaran berpunca sama ada dari kenanikan kos pengeluaran, perubahan iklim ekonomi global atau tercetusnya krisis ekonomi dan kewangan di negara pengimport. Dulupun kerajaan BN sentiasa menganggar kenaikan eksport dalam bajet tahunan tetapi akhirnya bukan sahaja ia tidak mencatatkan kenaikan malah mengalami pengucupan ketara.
Sektor pembinaan juga dikatakan bakal menikmati kenaikan 9.6 peratus. Berasaskan harga bahan binaan yang diboleh dikatakan tidak sama sekali terkawal, dan dasar-mesra kerajaan kepada bank komersil dalam melayan mekanisme pinjaman perumahan ia sudah tentu mewujudkan suasana menang-menang kepada semua terlibat kecuali bebenan besar kepada pengguna apabila kadar faedah terpaksa dibayar jauh mengatasi harga pokok rumah dibeli.pendapatan perkapita naik?
Keyakinan Najib bahawa pendapatan per kapita bagi 2014 bakal menyaksikan pencapaian RM34,146 berbanding RM24,879 pada 2009 juga disangsikan. Dalam keadaan pendapatan sebenar merosot akibat kenaikan pelbagai kos dan pengurangan pelbagai subsidi, tidak ramai rakyat Malaysia merasakan pendapatan mereka bertambah dari tahun ke tahun.
Menurut Najib, bagi tahun fiskal 2014, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM224.1 bilion sementara sejumlah RM264.2 bilion bakal dibelanjakan. Jika anggaran hasil bertepatan seperti ramalan dan tiada rang-rang undang perbekalan tambahan dibentangkan sepanjang tahun 2014 (yang mana kemungkinannya amat kecil), bermakna Bajet 2014 mencatatkan defisit RM38.1 bilion.
Terdapat pelbagai cara bagi menampung defist tersebut. Opsyen pertama adalah membuat pinjaman luar sama ada dengan cara pinjaman terus atau pengeluaran bon kerajaan. Opsyen kedua adalah menaikkan pelbagai cukai sedikit demi sedikit sepanjang tahun. Dan opsyen ketika ialah mengurangkan lagi subsidi minyak dan lain-lain barangan utama.
Dalam ucapan bajetnya itu Najib tidak ketinggalan menyebut kemungkinan negara mencapai status negara maju pada 2020. Namun, berdasarkan pertumbuhan tahunan ekonomi lebih sedekad lalu yang jarang melepasi angka 6 peratus setahun, pelbagai defisit yang dicatatkan dalam tempoh tersebut, serta pengurusan dan urus-tadbir ekonomi yang menyaksikan nisbah hutang kepada KDNK menghampiri had dibenarkan undang-undang serta hutang isi rumah antara tertinggi di dunia, ramai pemerhati ekonomi menyangsikan sama ada negara atau rakyatnya boleh mencapai status tersebut.
Tidak banyak keterujaan tentang Bajet 2010. Ia hanyalah sekadar ulangan kepada pemberitahuan awam mengenai bagaimana kerajaan mahu membelanjakan wang tanpa sebarang impak besar sama ada kepada ekonomi negara mahupun rakyat. Ia adalah filem lama yang ditayangkan semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.