KENYATAAN MEDIA
Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya di Parlimen adalah satu tamparan hebat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Malah, bermula pada kadar 6%, adalah sangat melampau. Perbandingan pelaksanaan GST yang dilaksanakan di Singapura pada kadar 7% sekarang ini juga adalah cubaan mengelirukan rakyat kerana ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan kadar hanya 3%, sejak 13 tahun yang lalu.
Dalam apa keadaan pun, membuat perbandingan dengan negara seperti Singapura dan negara-negara Eropah adalah sia – sia disebabkan tahap urus tadbir yang baik jauh lebih tinggi di negara – negara tersebut.
Bagi rakyat Malaysia, kos sara hidup sudah cukup membebankan tanpa GST. Dengan adanya cukai ini,
beban yang lebih berat akan menimpa golongan miskin memandangkan mereka hampir tidak ada pilihan lain selain membelanjakan juga sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna (disposable income) yang ada.
Hujah Najib bahawa GST akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan semakin berkurang adalah bohong dan sekali lagi cuba mengelirukan rakyat.
Majoriti rakyat tidak akan dapat memanfaatkan GST dengan penjimatan ataupun pelaburan seperti golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Ini akan mewujudkan jurang yang lebih nyata dan menyebabkan ketidakadilan sosial yang lebih berpanjangan.
Jika belanjawan tahun lalu adalah belanjawan rakyat disebabkan pilihanraya bulan Mei lalu, maka yang ini merupakan belanjawan orang kaya kerana kerajaan UMNO dan Barisan Nasional merasakan ia sudah tidak lagi terhutang budi kepada rakyat.
Mereka lewatkan GST kerana mereka tahu rakyat akan membantah dan kini selepas pilihan raya mereka melaksanakannya. Maka Belanjawan 2014 ini hanya akan melebarkan kesenjangan ekonomi rakyat. Jurang kaya – miskin, gini – coefficient rakyat akan terus meluas.
Selain itu, saya meramalkan tekanan inflasi yang bakal menimbun serta kos sara hidup yang kian meningkat.
Dorongan untuk memacu sektor pelancongan, dengan membina lebih banyak hotel bertaraf lima bintang dan bersaing dengan dunia untuk memiliki bandar terhebat tidak memberi kelebihan dan kemakmuran kepada rakyat.
Di mana usaha Kerajaan untuk merendahkan kos pengangkutan atau memperbaiki pengangkutan awam ? Tidak ada disebut tentang perumahan mampu milik. Malah program kesihatan rakyat terus diabaikan.
Meskipun peruntukan yang diumumkan amat substansial, namun yang masih menjadi permasalahan adalah pengagihan dan penggunaan dana tersebut. Perbelanjaan negara tahun lalu tentang latihan Bahasa Inggeris sahaja sudah cukup menjadi contoh bagaimana pembaziran berlaku.
Dana keusahawanan melalui pinjaman mudah bagi mengurangkan pengangguran di kalangan graduan hanya akan menjurus kepada nilai hutang yang semakin memuncak.
Apa yang diperlukan oleh graduan – graduan ini adalah kemahiran ‘soft skill’ dan lebih banyak latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan kebolehan mereka diambil bekerja, bukan hutang yang lebih banyak.
Cadangan untuk memberi dana kepada pelajar lepasan SPM untuk latihan kemahiran adalah baik dari segi prinsip, akan tetapi yang lebih signifikan adalah soal pelaksanaan serta pengkhususan di lapangan.
Kita semua setuju bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan, tetapi memeras lebih banyak wang daripada rakyat bukanlah caranya.
Masalah asas adalah soal ketirisan, pembaziran dan rasuah. Dengan menangani masalah ini secara tidak komprehensif, kita tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah yang tidak akan berkesudahan. Masalah ini tidak mampu diselesaikan dengan hanya mengutip cukai sebanyaknya.
MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden PKR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.