Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya
(Siti Hajar) menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia
yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara
sendiri (KLIK SINI).
Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap
apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat
Malaysia.
Saya menulis surat ini adalah…sifat
keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini
sebuah Negara Membangun Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak
akhir-akhirini isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan
negara-negara jiran kita lebih mahal minyak jika dibandingkan di
Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan itu tetapi idea untuk
menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang terang lagi bersuluh
bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah menaikkan harga
minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak kepada golongan
muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh rakyat
Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat kerja saya
menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan
minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak
50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik
akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata
orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada
kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang.
Bagaimana pula sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah
berumahtangga? Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga
minyak. Boleh dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi
menjamin kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak
nampak bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa
ianya satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang
diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi
impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah
melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada
masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar
kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak.
Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian
BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang
berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya
katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga
turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap
rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.
Surat Siti Hajar Aladin : BR1M @ Subsidi Minyak?
Dato Seri Najib Razak,
Kadang-kadang
saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah
hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang
kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle
income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya
juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle
income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara
hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti
bakal menerajui negara sendiri?
Seterusnya pula, Boleh dikatakan
golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula
RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk
menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka
yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000
dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka
ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi
juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti
Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung
keluarga.
Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.
- Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
- Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
- Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
- Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
- Parking : 23 hari x RM5 = RM115
- Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
- Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
- PTPTN : RM150 (minimum)
- Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
- Ibu Ayah = RM200
- Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
- TOTAL BAKI : RM213.40
Surat Siti Hajar Aladin : Lonjakan Harga Rumah di Malaysia
Ini apa yang pernah saya lalui. Tak
dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN
apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan
insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu
dilalui yang memerlukan duit tambahan.
Apabila kita melihat baki bulanan yang
sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali.
Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati,
Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate
sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717.
Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa
hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan
Hartanah.
Saya telah kira RM213 hanya mampu
membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk
30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan
gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini?
Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan.
Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia
bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak
atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.
Surat Siti Hajar Aladin : Gaji Rakyat Malaysia?
Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji
lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta
tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka
menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang
ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah,
saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap
memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib
mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat
bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat
perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan
ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.
Seterusnya, mengenai status penjawat
awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan
syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta,
mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi
penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak
menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa
masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan
pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama
bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya
kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan
pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika
ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga
rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya.
Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan
juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan
Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri Najib Razak dapat memikirkan
masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di
seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan
apa yang dirasakan membebankan kami.
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.