Menteri Dalam Negeri (KDN) Ahmad Zahid Hamidi menafikan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (PCA) yang akan dibentangkan dalam sidang parlimen 30 September ini tidak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
Mungkin Zahid boleh mengelirukan sebahagian orang di sebalik sihir kata-katanya tetapi tidak semua orang menyakininya.
Kenapa saya kata begitu kerana dari segi semangat dan kesannya PCA itu hampir sama dengan ISA kerana ia memberi kuasa kepada polis untuk menahan sesiapa saja tanpa dibicara. Mungkin kalau perbezaanya dahulu dibawah akta ISA menteri dan timbalan menteri KDN mempunyai kuasa penuh untuk menandatangani surat penahanan tetapi tidak dengan PCA ini.
Melalui PCA ini penahanan ke atas mana-mana individu akan dibuat oleh lembaga yang dibentuk menerusi seksyen (baru) 7B yang memberi kuasa kepada lembaga menahan mana-mana individu tidak lebih dalam tempoh dua tahun.
Lembaga berkenaan akan dianggotai hakim-hakim dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Manakala seksyen (baru) 15A pula rayuan ke atas keputusan dan tindakan lembaga tidak boleh dibuat kecuali dalam perkara-perkara melibatkan prosuder.
Jadi roh undang-undang PCA itu sama sahaja dengan ISA memberi kuasa menahan tanpa bicara. Dimanakah munasabah dan benarnya penafian Zahid itu. Mungkin kelainan itu hanya dari segi nama sahaja, dulu ISA kini PCA. Hanya pertukaran botal sahaja araknya sama, kesannya tetap memening dan memabukkan.
Tidak nampak apakah transformasi yang dilakukan dalam hal ini seperti mana tegas Zahid?
Sebelum ini perdana menteri Mohd Najib Razak mengumumkan pemansuhan akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat kerana menyahut suara yang mahukan akta disifatkan sebagai 'dikronian' itu sebagai zalim dan kejam.
Apabila kini ia dihidupkan semula atas nama baru oleh Zahid, apakah pemansuhan sebelum ini hanya satu sihir politik Najib? Bukankah penghidupan semula akta itu seolah-olah ia mencabar keputusan yang telah dibuat oleh Najib?
Sekiranya perwujudan PCA baru itu atas kehendak ahli-ahli Umno atau pihak polis sendiri serta-serta badan-badan lain ia bermakna keputusan Najib dulu tidak relevan dan tidak dihormati. Apakah perlu untuk Najib mengambil tanggungjawab diatas apa yang berlaku dengan meletakkan jawatan?
Adalah memalukan bagi seorang perdana menteri kalau keputusan yang dibuat tetapi tidak dihormati.
Atau boleh jadi juga pemansuhan itu sebahagian daripada tektik dan strategi pihak Najib dan UBN untuk mengelabui mata rakyat menjelang pilihan raya agar rakyat melihat Najib dan UBN sebuah kerajaan yang telus, tidak zalim dan mendengar keluhan rakyat.
Apakah menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti seandainya PCA ini dilulus oleh parlimen ia akan dimansuhkan sekali lagi kemudian akan diganti dengan akta lain pula yang bertukar dari segi nama dan kekal dari segi semangat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.