MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Sebanyak lima kertas siasatan
berkaitan kesalahan menghina agama Islam di laman sesawang dibuka oleh
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sehingga Ogos lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, selain tindakan mahkamah, tindakan sekatan juga telah diambil terhadap laman sesawang atau blog yang telah dikenal pasti. Selain itu, SKMM juga telah menyekat 204 lawan sesawang yang terlibat dengan kelucahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan ia merupakan 300 aduan yang diterima oleh suruhanjaya, sepanjang tahun ini, katanya. "Dalam usaha ini, pihak suruhanjaya (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mana-mana badan penguat kuasa yang lain termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dalam penyaluran maklumat dan bantuan teknikal bagi siasatan kes-kes seperti ini," katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Pas-Parit Buntar) yang ingin tahu jumlah blog yang menghina Islam serta tindakan yang telah dan akan diambil terhadap pemiliknya, di persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu. Bagi aduan yang diterima terhadap 197 pengguna Facebook, Jailani berkata, suruhanjaya telah membuat permohonan kepada Facebook untuk mendapatkan maklumat pengguna terbabit bagi tujuan pengumpulan bukti. "Ini adalah sebagai langkah siasatan awal berkaitan aduan yang diterima berkaitan pelanggaran Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya. Katanya, kerajaan juga telah mengambil tindakan proaktif untuk mendidik pengguna di Malaysia mengenai penggunaan Internet secara positif, bertanggungjawab serta mengamal kawal selia kendiri. "Kempen Klik dengan Bijak dan Kempen Media Sosial Sihat telah dilancarkan. Pelbagai aktiviti seminar dan ceramah dijalankan sebagai usaha untuk mendidik kesedaran terhadap penggunaan Internet secara positif," katanya. Katanya, Biro Aduan SKMM bagi menangani penyebaran dan paparan kandungan lucah dalam laman sesawang juga menerima semua jenis aduan dan memberi khidmat nasihat sekiranya diperlukan. - BERNAMA |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.