Jumaat, 27 September 2013

Lebih 100 Jenama Rokok Tiruan Dikesan - KPDNKK

MSTAR ONLINE

 
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesan terdapat lebih 100 jenama rokok tidak sah atau rokok tiruan menggunakan nama dan alamat pengilang atau pengimport yang palsu di negara ini.

Pengarah Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasaan, Unit Perihal Dagangan KPDNKK Roslan Mahayudin berkata pemeriksaan mendapati alamat tertera pada kotak rokok tidak sah itu merupakan tempat letak kereta dan tanah kosong bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Rokok tidak sah ini menjadi tarikan kepada orang ramai kerana harga jauh lebih murah. Lazimnya rokok tiruan ini dijual dengan harga RM3 sekotak berbanding rokok asli sekitar RM7 sekotak.

"Selain itu permintaan tinggi daripada pekerja asing di negara ini juga faktor limpahan rokok tiruan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Bengkel Rokok Tidak Sah anjuran KPDNKK di sini, Khamis.

Katanya, penjualan rokok tiruan juga dikesan berleluasa di sebelah pantai barat dan harga rokok yang mahal antara punca lambakan dan penyeludupan rokok tiruan pelbagai jenama di pasaran negara.

Menurutnya, dari tempoh tahun lalu hingga September tahun ini sebanyak 175 kes penjualan rokok tidak sah dikesan di seluruh negara melibatkan rampasan kira-kira RM117,800.

Sementara itu, Roslan berkata, tahap penilaian pegawai sebelum melakukan operasi penguatkuasaan akan ditambah baik bagi mengelakkan sebarang ancaman atau risiko.

Katanya, biasanya sebelum operasi dilakukan, pegawai risikan akan menilaiterlebih dahulu sama ada serbuan itu berisiko atau sebaliknya.

Roslan berkata, lazimnya jika serbuan itu berisiko pihaknya akan melibatkan agensi lain seperti polis namun jika melibatkan serbuan biasa terpulang kepada pegawai penilai.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden sepasukan pegawai penguatkuasa diugut sekumpulan lelaki bersenjata tajam ketika membuat operasimembanteras cetak rompak di Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.

"Saya masih menunggu laporan penuh dari pegawai berkenaan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.