Ahad, 1 September 2013

DBKL Roboh Kuil Hindu Berusia 101 Tahun, Pemimpin PKR, Jayathas Ditahan



Gambar di perkarangan kuil Sri Muneswarar Kaliyaman oleh Latheefa Koya. 
 
 
PETALING JAYA: Kuil Hindu berusia 101 tahun, Sri Muneswarar Kaliyaman yang terletak di Jalan P.Ramlee dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad selepas DBKL menemui jalan buntu selepas melakukan rundingan selama setahun untuk memindahkan kuil yang dibina di atas tanah rizab milik DBKL.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), S.Jayathas dan dua lagi, yang cuba menghalang operasi perobohan ditahan kerana menghalang tugas pegawai DBKL.

Mereka di bawa ke balai polis Dang Wangi, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad.
Naib Presiden PKR, N. Surendran, bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja beliau menerima berita berkenaan pada pukul 8 pagi dan cuba berunding dengan pihak berkuasa mengenai isu perobohan tersebut.

Bagaimanapun, usaha beliau gagal dan pihak DBKL meneruskan usaha merobohkan kuil tersebut pada pukul 8.50 pagi.

"Pihak berkuasa menggunakan tukul besi untuk memecahkan patung dalam kuil.

Gambar beberapa patung yang dipecahkan oleh pihak DBKL. 
 
"Peguam dan ahli jawatankuasa kuil juga dikecam oleh pegawai DBKL. Ini adalah proses perobohan secaa haram kerana tidak ada perintah mahkamah dikeluarkan," dakwa beliau.

Menurut Surendran, lebih daripada 200 pegawai, termasuk anggota polis terlibat dalam operasi perobohan tersebut.

Pihak berkuasa berhenti seketika pada pukul 10.30 pagi dan menyambung kembali kerja-kerja merobohkan kuil berkenaan.

Tahun lalu, pemilik kuil tersebut telah menerima notis daripada DBKL yang meminta pemilik kuil berkenaan mengosongkan kawasan tersebut untuk tujuan pembangunan.

Tanah tersebut merupakan rizab DBKL dan mereka mahu mengosongkan tanah itu bagi membolehkan pembinaan bangunan oleh pihak pemaju, Hup Seng Bhd.

Kuil Sri Muniswarar Kaliamman merupakan satu-satunya kuil Hindu yang terdapat di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya menulis di twitter, yang menyatakan pihak berkuasa telah mula merobohkan kuil berkenaan pada pukul 9.52 pagi Ahad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.