Rabu, 25 September 2013
Calon tarik diri kerana tidak tahu siapa lawan mereka, kata Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebanyakan calon yang mahu bertanding di peringkat bahagian Umno menarik diri kerana tidak tahu siapa lawan mereka.
Timbalan Presiden Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penarikan lebih 200 calon di peringkat bahagian.
Beliau berkata, tidak timbul isu penarikan diri menjadi strategi untuk memenangi jawatan kerana pemilihan parti itu diadakan berdasarkan sistem demokrasi.
"Selepas selesai penyerahan, baru mereka nampak siapa pencabar yang lain, jadi itu terpulang pada calon sama ada mahu teruskan atau tidak," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Undang-Undang Persaingan Negara di Konvesyen Kuala Lumpur.
Muhyiddin berkata, pemilihan Umno berdasarkan sistem demokrasi ini turut memberi ruang kepada calon untuk menarik diri sekiranya merasakan pencabar lebih berkelayakan dan berwibawa.
"Tidak ada masalah untuk itu, kalau sekiranya lawan satu dengan satu maka yang tinggal itu akan menang tapi kalau enam pencabar satu tarik diri masih ada lagi pemilihan," katanya.
Katanya, Umno turut menolak politik wang termasuk fitnah dalam pemilihan parti itu.
"Kita sedia maklum terdapat muka-muka baru dalam pemilihan jadi etika mungkin masih kabur, jadi kelak kita akan umumkan etika kepada calon.
"Sekiranya mereka melanggar terutama yang melibatkan politik wang, parti tidak akan teragak-agak menarik balik penyertaan termasuk kemenangan calon," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.