Oleh : Mahdzir Ibrahim
Saya sebagai penonton mempunyai pandangan sendiri, saya akan cuba berlaku adil menilai filem ini.
Menurut laporan media, kos filem ini sekitar RM 4.5 juta, ia dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak RM2.5 juta dan RM2 juta lagi daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC). Tidak termasuk penajaan dari syarikat kerajaan seperti syarikat penerbangan Malaysia (MAS).
Dengan kos tersebut, saya fikir hasil dari aspek teknikalnya tidaklah begitu memuaskan. Penggunaan teknik CGI atau Computer Generated Image yang digunakan tidak sempurna dan tidak kemas malah jika difikir-fikirkan, ianya tidak perlu bagi filem sebegini. Namun terpulanglah kepada pengarah kerana itu haknya.
Begitu juga dalam dalam aspek rekabentuk produksi, props dan costume. Ia tidak cukup sempurna untuk menggambarkan suasana di zaman tersebut sedangkan filem ini berlatarkan suasana diera 60/70an. Jauh bezanya dengan props dan costume filem Bukit Kepong atau Leftenan Adnan. Adakah kerana penerbitnya ingin berjimat, kita tidak pasti.
Selepas menonton, saya tertanya-tanya adakah filem ini mahu bercerita tentang sejarah 13 Mei atau apa?
Babak kencing tiang bendera Selangor ada dipaparkan. Tetapi tidak jelas adakah adegan ini benar-benar wujud dan bersumberkan dari fakta sejarah. Jika benar-benar bersumberkan dari sejarah, dimana dan apakah sumbernya? Samada dari laporan polis atau catatan sejarawan, saya ingin tahu.
Jika ia fiksyen, bendera Selangor itu bukan fiksyen. Malah, tiang bendera dalam babak tersebut tidak jelas berada dimana, didalam kawasan rumah Datuk Harunkah (Menteri Besar Selangor ketika itu) atau ditepi longkang pejabat kerajaankah atau disebelah warungkah?
Kita tak pasti sama sekali. Jika ada yang mengaitkan ianya dikawasan kediaman Menteri Besar Selangor, mungkin itu hanya tanggapan saja kerana bendera ditiang itu bendera Selangor atau banyak babak 13 Mei dalam filem itu berlaku disekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Atau, adakah babak kencing tiang bendera itu sebenarnya adalah imaginasi pengarah berdasarkan dengar cakap dari sumber yang tidak jelas?
Jika kita rujuk penjelasan Sdr. Ahmad Habib dalam temubual oleh roketkini di sini (http://www.roketkini.com/2012/09/14/kencing-tiang-bendera-kit-siang-difitnah-saksi-13-mei/) yang berada dilokasi rusuhan (Kampung Baru) pada ketika itu, jelas sekali bahawa hampir mustahil peristiwa kencing tiang bendera Selangor itu dilakukan di kediaman Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Jadi, jika bukan berlaku di kediaman Menteri Besar, maka ia berlaku dimana? Adegan ini bukan adegan lagak ngeri (stunt) yang boleh difiksyen-fiksyen sesuka hati. Adegan ini berkaitan langsung dengan sejarah 13 Mei.
Bagi saya, peristiwa 13 Mei yang digempakkan diawal babak dalam filem ini kelihatan hanya digunakan untuk memancing sentimen kemarahan dengan menggambarkan seolah-olah pembangkang dan komunis itu sama atau bekerjasama. Pembangkang dan komunis itu cuba digambarkan dengan imej satu kaum sahaja iaitu Cina disamping logo DAP terpampang disana-sini dalam babak tersebut.
Sedikit selingan buat pengarahnya – DAP bukan komunis apatah lagi menyokongnya, malah penubuhan DAP adalah bukti penolakan DAP akan perjuangan komunis yang menggunakan senjata.
Bertolak dari imej-imej ini, maka pada awalnya saya menyangka filem ini ingin menceritakan kembali peristiwa 13 Mei mengikut kronologi dan laporan saksi-saksi secara jelas. Ketika menontonnya saya cuba bersangka baik dan mencari lojik tentang paparan imej tersebut yang mungkin dapat memberi gambaran jelas kepada penonton tentang apa sebenarnya yang telah berlaku dalam peristiwa 13 Mei ini.
Tetapi ia tidak berlaku begitu. Pengarah mematikan peristiwa 13 Mei ini setengah jalan (tak sampai separuh sebenarnya). Tinggalah imej-imej logo DAP, Cina dan Komunis melekat dimemori penonton tanpa apa-apa penjelasan dan pertanggungjawaban. Permulaan yang mendebarkan tiba-tiba hilang lenyap tak berkesudahan.
Yang lain hanya drama hubungan keluarga dan persahabatan Tun Razak dengan Tun Dr. Ismail dan beberapa babak pendek tentang usaha beliau mewujudkan felda, usaha Tun dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kisah komunis yang diselitkan serba-sedikit.
Watak dan pemilihan pelakon (casting) Tun Razak dan Tun Dr Ismail agak berjaya, ia dilakonkan dengan baik dan berkesan, tahniah buat pelakonnya, Rusdi Ramli dan Zizan Nin.
Namun akhir semua ini, babak 13 Mei yang digempakkan itu terhenti, tergantung dan ghaib entah kemana. Filem sejarah apakah ini? Saya tidak nampak atau memahami signifikan antara babak-babak 13 Mei dengan sejarah ketokohan Tun Razak dalam filem ini.
Jika ini bukan filem sejarah 13 Mei, adakah ia filem sejarah mengenai ketokohan Tun Razak dan rakannya Tun Dr. Ismail? Jika benar, pasti sumbangan terpenting Tun seperti penubuhan Felda digarap dengan lebih jitu lagi berbanding garapan peristiwa 13 Mei. Tetapi tidak begitu.
Filem ini tidak mengangkat dengan jelas sumbangan Tun dalam penubuhan Felda atau pun usaha Tun dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Maka kita keliru arah cerita ini.
Atau, adakah filem ini memang bukan filem sejarah langsung. Hanya filem fiksyen yang mencedok sedikit fakta sejarah dan ditempelkan ke atas susuk Tun Razak hingga menjadi filem fiksyen agar pengarah atau penerbitnya tidak perlu dipertanggungjawabkan oleh penghayat atau sesiapa.
Memang kita memahami bahawa adaptasi dari sumber pertama (asal) kepada medium lain akan diolah kembali dengan elemen-elemen fiksyen sebagai penyedap atau penarik. Ini kita bersetuju.
Namun demikian, nuansa antara fakta dan fiksyen seharusnya jelas. Dalam filem Tanda Putera ini, fiksyen dan fakta bercampur-baur dan berkecamuk, bagi yang tidak membaca atau menyelidiki sejarah 13 Mei ini, pasti akan menganggap semua babak dalam filem ini adalah seratus peratus berdasarkan fakta.
Akhirnya kita ingin sekali bertanya kepada pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba, filem ini filem apa? Filem sejarah atau fiksyen?
Saya fikir saya berhak mendapat penjelasan daripadanya kerana filem beliau ini dibiayai dari wang cukai rakyat, bukan sedikit tetapi banyak. Wang cukai rakyat ini dikutip oleh kerajaan dari semua kaum, Melayu, Cina India, ahli DAP, ahli UMNO, PKR, orang Islam, bukan Islam, orang miskin dan kaya malah semuanya.
Jika ia filem sejarah, maka ia milik rakyat dan rakyat berhak menuntut penjelasan. Jika fiksyen, maka penerbit harus bersedia bertanggungjawab atas paparan imej atau babak-babak dalam karyanya.
Saya mendukung prinsip kebebasan berkarya, berekspresi dan berkreativiti. Saya akan pertahankan hak saudari Shuhaimi Baba jika dia benar.
Disebalik semua ini, saya juga tertanya-tanya, bagaimana Finas menjustifikasikan filem ini hingga sanggup melabur jutaan ringgit dengan mempertaruhkan prinsip keharmonian kaum. Untuk apa? Kebenaran? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.