GEORGE TOWN:
Bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz tidak akan mempertahankan
jawatannya sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan
parti pada Oktober. Rafidah, anggota MT Umno paling lama berkhidmat
iaitu sejak 1975, berkata generasi muda perlu diberi peluang bertanding
jawatan MT pada pemilihan Umno tahun ini.
“Saya
paling lama berkhidmat sebagai MT sejak Tun Abdul Razak Hussein
menjadi Presiden parti sehingga hari ini dan kini tiba masanya bagi
saya untuk bersara daripada politik.
“Sejak 35
tahun lalu, saya telah memenangi jawatan itu (MT Umno) dengan
bertanding dan bukan dilantik. Saya tahu saya tidak boleh memegang
jawatan itu selama-lamanya kerana saya kini berumur 70 tahun dan kita
perlu memberi lebih peluang kepada generasi muda untuk bertanding,”
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada sidang
kemuncak Wanita MNC wilayah utara di sini, Isnin.
Rafidah
yang menyertai UMNO pada 1970, menang buat kali pertama pada pilihan
raya umum 1978 bagi kerusi Parlimen Selayang selepas mengalahkan calon
DAP Zainal Rampak dengan majoriti 21,279 undi.
Pada
pemilihan Umno 1984, beliau menjadi ketua wanita Umno selepas
menewaskan Datin Paduka Zaleha Ismail dengan 71 undi tetapi pada 2008,
beliau gagal mempertahankan jawatan itu selepas tewas kepada Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil.
Pada masa ini, Rafidah merupakan pengerusi bukan eksekutif dan Pengarah bukan eksekutif bebas AirAsia X Bhd.
Beliau
berkata politik bukan semata-mata untuk memenangi jawatan dalam parti
atau pilihan raya umum tetapi ia mengenai berkhidmat kepada negara.
“Bagi saya, politik ialah untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat bagi memastikan negara mencapai matlamatnya,” katanya.
Pada
pilihan raya umum 1982, Rafidah bertanding di Kuala Kangsar, Perak dan
akhirnya menjadi anggota Parlimen selama tujuh penggal dengan yang
terakhir pada 2008 apabila mengalahkan calon PAS Khairuddin Abd Malik
dengan 1,458 undi.
Jawatan
terakhirnya dalam kerajaan ialah sebagai Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri sehingga akhir 2008.Rafidah tidak dipilih
untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.