Oleh Aishah
TAHUN ini kebetulan kita menyambut hari raya pada bulan
kemerdekaan. Setidaknya, Ramadhan lalu mengajar kita mengenai cara
menghargai kesenangan diri dan paling penting tidak melupakan kesusahan
orang lain dalam menjalani hidup.
Setelah itu, kesedaran disimpan baik dan bakal diambil
semula pada Ramadhan akan datang. Mengapakah demikian? Ini terjadi
disebabkan ramai menyambut kedatangan Syawal melebihi kemampuan diri
sekali gus melupakan kesedaran yang mungkin tercapai dalam bulan
Ramadhan itu iaitu kesederhanaan, keharmonian dan keseimbangan.
Begitupun, kemerdekaan kali ini berdekatan dengan
Aidilfitri, ia mengingatkan kita sekali lagi akan satu hal iaitu
kebebasan. Tema kebebasan ini juga ada pada bulan Ramadhan, seperti mana
kita diajar untuk membebaskan diri daripada perasaan marah, nafsu
serakah, dan sikap kita seperti lazimnya hari-hari biasa.
Jika pada hari biasa kebanyakan kita mengumpat dan mengeji
jiran di belakang rumah (kecuali pada Jumaat kerana dinasihatkan tidak
boleh menipu pada Jumaat), pada bulan Ramadhan mereka ini tadi akan
berlumba merebut fadilat solat sunat Terawih.
Di samping tidak melupakan telekung yang dihias labuci yang
akan dipakai di masjid nanti. Syawal kemudiannya disambut dengan
menziarahi mereka yang sudah tiada dan setibanya di rumah, bersusunlah
anak-anak untuk mendapatkan duit berwarna hijau, merah, biru atau ungu.
Ada satu hal yang kebanyakan kita terlepas pandang – bila
bergema takbir raya – kebebasan daripada mentaliti kelas ketiga. Apa
yang diertikan dengan mentaliti kelas ketiga? Mudahnya, sikap orang
tidak bertamadun (barbaric) atau sikap orang tidak sekolah (baca:
sekolah dalam erti simbol pengetahuan bukan institusi).
Misalnya, di ceruk kampung terdapat sekumpulan budak yang
sudah bersedia dengan baju dan sepatu baru untuk berjalan mengutip duit
raya dari rumah ke rumah. Kegembiraan ini turut dirasai tuan rumah yang
memberi duit dalam sampul dengan logo bank atau gambar ketupat.
Pemberian
seperti ini biasanya disertakan sekali menjamu tetamu dengan makan dan
minum. Atas ini semua, ia mengajar kita saling berbagi samada dalam
bentuk material (duit, makanan) atau bukan-material (kasih sayang).
Amat malang, jika amalan seperti ini tidak dihayati,
sebaliknya budak terpaksa menahan telinga daripada kata-kata “mereka
datang nak duit je tu”, “nak masuk rumah ke nak duit?” – akhirnya
budak-budak ini dibiarkan berpanas tanpa dipelawa seteguk air dan
dilayan seperti pengemis meminta sedekah yang diberi duit dari luar
pagar.
Ini antara contoh mentaliti kelas ketiga yang ketara
didapati di bandar besar, dengan rumah dan kereta besar. Sungguhpun,
Malaysia dikenal sebagai antara negara dengan menara tertinggi, litar
lumba terbaik, bunga terbesar, kawasan arkeologi tertua, tetapi tidak
lama untuk kita mengenal Malaysia juga punya masyarakat dengan pekerti
terburuk.
Hanya menjadi makhluk yang cukup makan dan pakai untuk
melepaskan dirinya sahaja, paling buruk menjadi objek modenisasi. Tidak
cukup dengan itu, mentaliti ini juga menghinggapi mereka yang diberi
didikan sehingga ke menara gading, sama ada sistem pendidikan kita
berasaskan keuntungan bukan kemanusiaan, itu adalah satu perbincangan
lain.
Raya adalah kesempatan untuk mendekatkan hubungan yang jauh
daripada kesibukan kota, bukan dijadikan sebagai hari syaitan gemuk
seperti dalam majalah Asuh yang menjadi tumpuan zaman kanak-kanak.
Oleh itu, Malaysia tidak hanya dikenal dengan konvoi Sultan
Johor, tetapi juga konvoi beraya beramai-ramai daripada setiap hierarki
sosial. Jika pada bulan Ramadhan, adanya solat sunat berjemaah setiap
malam, Syawal dengan semangat yang sama (habluminannas) dimeriahkan
dengan konvoi ke rumah rakan terdekat.
Tetapi ini juga dicemari mereka dengan mentaliti kelas
ketiga, tidak sedikit daripada kalangan kita yang memanfaatkan ruang ini
untuk mencari perbezaan, membesarkan diri atau memalukan diri sendiri
dengan kebodohan.
Ternyata, kerendahan hati yang pada asalnya diraih pada bulan puasa kian menipis dengan gelagat moden masyarakat sekarang.
Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, penjajah pernah
mengatakan Melayu itu malas sehingga diwajarkan beban orang putih – sama
seperti stigma yang cuba diletakkan Mahathir ketika kekuasaannya.
Malangnya,
manusia moden yang dicipta skema penjajahan terdahulu dilihat tidak
lari jauh daripada robot, hanya tahu makan dan kerja, instagram dan
check-in. Inilah belenggu “watak tertawan” (captive mind) yang masih
mengikat setelah 56 tahun merdeka.
Jika pada satu waktu, petani, penoreh
getah, nelayan di desa dihina kerana menghabiskan baki waktunya di
warung (setelah bangun awal pagi membanting tulang empat kerat), ini
nyata lebih baik daripada manusia moden sekarang yang hanya bercakap
pada gajet canggih, ketawa pada kotak besar di rumah atau pejabat, dan
tidur dengan harapan “esok dapat gaji”.
Anehnya manusia moden ini, mereka gemar memuat gambar
makanan dalam instagram berbanding berkongsi juadah dengan jiran sebelah
rumah. Memuat naik gambar angpau di facebook daripada memberi kepada
anak yatim yang tiada ibu ayah untuk diberikan duit raya.
Adalah satu tragedi, apabila kemerdekaan kali ini juga
disambut seperti hari merdeka yang sudah iaitu tidak berupaya
membebaskan diri sendiri. Kemerdekaan seharusnya bukan slogan tahunan
tetapi makna yang harus direbut dalam perlakuan kita sehari-hari.
Kemerdekaan juga bukan pelekat Gila-Gila yang dilekat pada
buku, atau pencil box daripada sarung video tape. Kemerdekaan bukan lagu
Sudirman. Kemerdekaan bukan pada bendera yang dikibar di kereta proton
atau rumah kos rendah. Kemerdekaan tercapai apabila tiada lagi manusia
yang hidup dan kehidupannya dijajah. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.