SHAH ALAM - Pas menyifatkan Mahkamah Pilihan Raya yang menjadi tempat terakhir saluran sah rakyat mengadu kepincangan proses pilihan raya di negara ini, kini bertukar menjadi jalan buntu.
Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengenakan penalti melampau pada para pempetisyen, ianya dilihat seolah-olah ingin menyekat rakyat daripada mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Mahkamah sepatutnya menjadi tempat rakyat mengadu serta mendapatkan keadilan.
“Ia adalah jalan terakhir bagi rakyat kerana ia menelan belanja yang tinggi. Kos penalti yang diperintah bayar untuk petisyen pilihan raya yang sangat tidak munasabah ini bukanlah satu usaha positif bagi rakyat menjadikan mahkamah sebagai tempat mengadu permasalahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen yang difailkan BN dan PR di peringkat awal sebutan kes dengan alasan teknikal sahaja.
Menurutnya lagi, apakah dengan mengenakan penalti yang tinggi ini untuk menyekat pihak tertentu daripada membuat petisyen atau pun satu ikutan baru dalam mahkamah.
"Bagi saya penalti yang tinggi ialah amaran tersirat agar setiap kali pilihan raya jangan ada pihak yang berani membuat petisyen walaupun tidak berpuashati.
“Atau ini satu ikutan baru dalam kehakiman?,” soalnya.
PRU13 mencatat sejarah petisyen paling banyak iaitu 60, 39 daripada PR dan 21 daripada BN.
Tambah Tuan Ibrahim, kos untuk pempetisyen membuat petisyen bukanlah murah namun apa yang mendukacitakan, ruang yang ada itu ditutup apabila kesemua petisyen tersebut ditolak di peringkat awal sebutan kes oleh mahkamah dengan alasan teknikal sahaja.
“Kos pempetisyen membuat petisyen sangat mahal.
“Pempetisyen dikenakan untuk membayar penalti kos kepada SPR ,jumlahnya sangat besar sehingga RM150,000 ini apa yang berlaku di petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kuala Brang, Terengganu pagi ini,” katanya.
Oleh itu, Pas membangkitkan persoalan mengenai apakah garis panduan bagi hakim menetapkan kos yang terpaksa dibayar yang dilihat tidak konsisten oleh mahkamah
“Apakah tiada 'tanda harga' bagi mengawal agar pempetisyen boleh mempersiapkan jumlah wang bagi bersedia ke arah itu ketika membuat petisyen? Kalau tidak ini menandakan pilihan raya ini sekarang hanyalah medan untuk orang kaya-kaya sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.