Oleh Mohd Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Polis dikatakan menemui petunjuk baru yang akan mengheret penjenayah yang menembak Pengerusi MyWatch, S Sanjeevan ke muka pengadilan, kata ahli badan pemantau jenayah MyWatch, S Gobikrishnan.
Ia berdasarkan laporan semasa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Ku Chin Wah yang menyatakan polis hanya menunggu Sanjeevan pulih dari kecederaan untuk diambil keterangan.
“Datuk Ku Chin Wah maklumkan sudah menemui beberapa petunjuk terbaru. Tetapi menunggu keterangan dari Sanjeevan sebelum tindakan lanjut boleh diambil.
“Namun beliau tidak beritahu pula bagaimana petunjuk yang dimaksudkan kerana masih dalam siasatan polis,” ujar Gobikrishnan (gambar) kepada Keadilandaily.
Siasatan diambil alih ibu pejabat polis Bukit Aman selepas mendapat desakan kuat ahli keluarga Sanjeevan ekoran kelewatan tindakan polis Negeri Sembilan.
Menurut Gobikrishnan, ia berkemungkinan akibat kritikan Sanjeevan terhadap beberapa pegawai polis negeri yang didakwa mempunyai masalah moral dan disiplin.
“Saya juga syak kelembaban ekoran ‘conflict of interest’.
“Sebelum itu Sanjeevan pernah buat laporan mendakwa beberapa pegawai polis Negeri Sembilan dengan beberapa pertuduhan.
“Pernah satu ketika Sanjeevan mendapat panggilan yang mengugut untuk menembaknya.
“Apabila dikesan nombor tersebut, rupanya datang dari balai polis Jelebu,” kata Gobikrishnan.
Dalam pada itu, Gobikrishnan memaklumkan Sanjeevan menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan membuang peluru walaupun hanya mampu menggerakkan tangan dan kakinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.