Rabu, 28 Ogos 2013
Anak ketua menteri Sarawak ada anak bersama wanita Australia, kata bekas isteri
Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mendengar kes anak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dikatakan telah berlaku curang sejak dua dekad lalu.
Shahnaz A. Majid, 50, berkata Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib telah membawa wanita Australia dan Rusia ke perhimpunan keluarga semasa masih ada hubungan perkahwinan.
Beliau difahamkan Mahmud telah mempunyai seorang anak lelaki bersama wanita Australia itu.
“Dia membawa wanita itu ke majlis perkahwinan adik perempuannya sama ada pada tahun 2000 atau 2001 di Kuching,” katanya sewaktu ditanya peguam Akbardin Abdul Kader hari ini.
“Nama wanita itu Louisse Hiley. Saya tidak tahu status pernikahan mereka tetapi mereka mempunyai anak bernama, Adam.”
Shahnaz kemudian diberitahu Hiley dan Mahmud telah berpisah dan Adam mengikut ibunya.
Shahnaz adalah kakak kepada penyanyi jazz Datuk Sheila Majid telah memberi keterangan kepada mahkamah bagi mendapatkan pampasan RM300 juta dan RM100 juta tuntutan mutaah atas penceraian itu.
Beliau turut meminta 50 peratus aset kepunyaan Mahmud Abu Bekir termasuk kereta mewah, beberapa rumah di luar negara, tanah di Sarawak dan pegangan saham.
Kes penceraian itu mendedahkan kekayaan keluarga ketua menteri Sarawak.
Dalam penghakiman itu, Shahnaz menyenaraikan tujuh kereta mewah, ribuan hektar tanah di Sarawak dan saham dalam 15 buah syarikat yang diisytihar sebagai harta sepencarian.
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Mahmud pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Rayden Myura Abdul Taib Mahmud, 20.
Mereka telah mendirikan rumah tangga selama 19 tahun empat bulan sebelum Mahmud memfailkan penceraian pada 11 Mei 2011.
“Perkahwinan kami pada awalnya bahagia namun tidak kekal lama. Tidak lama kemudian, perkahwinan dilanda masalah kerana Mahmud gagal melunaskan tanggungjawabnya,” kata Shahnaz.
“Kami akhirnya berpisah kerana dilanda pelbagai masalah ekoran sifatnya yang ganas dan panas baran.”
Katanya, Mahmud melayannya dengan tidak adil sebagai isteri pertama. Selepas Hiley, dia berkahwin dengan perempuan Rusia.
Akbardin: Bagaimana anda tahu dia berkahwin dengan wanita Rusia?
Shahnaz: Saya baca sebuah artikel di majalah The Peak pada September 2010. Beliau telah ditemubual oleh majalah berkenaan dan mengakui wanita Rusia itu isterinya.
Akbardin: Apa namanya?
Shahnaz: Elena Vasilenko.
“Dia kemudian kembali ke rumah bersama perempuan itu dan membawa anak kami keluar. Saya tidak tahu mereka telah berkahwin,” katanya.
Shahnaz menambah sebelum dia bercerai, Mahmud turut membawa Vasilenko ke majlis hari jadi ibunya.
Pada Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan Syariah membenarkan permohonan Mahmud bagi diadakan perbicaraan semula atas sebab kes tuntutan mutaah sebelum itu dijalankan tidak mengikut prosedur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.