Isnin, 1 Julai 2013

Tingkat Pendapatan Per Kapita Masyarakat Desa


MB pc MP klang kuning 01

SHAH ALAM : Program pembangunan desa yang menjadi tumpuan Kerajaan Negeri pada penggal kali ini akan mensasarkan usaha meningkatkan pendapatan per kapita penduduk kampung di seluruh Selangor.

Ini kerana menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, terdapat jurang pendapatan yang terlalu luas di antara masyarakat bandar dan desa meskipun Selangor terkenal sebagai negeri yang membangun pesat.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) berhubung fokus utama Kerajaan Negeri terhadap program pembangunan desa dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

“Program ini berasaskan kepada satu konsep yang kita lihat bahawa jika ia berjaya, maka akan berlaku peningkatan pendapatan per kapita penduduk kampung.

“Disebabkan jurang pendapatan yang terlalu tinggi, maka Kerajaan Negeri mencari jalan supaya usaha meningkatkan pendapatan dapat diperhebatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata program itu mula diilhamkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor sejurus selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu.

Sebagai langkah awal katanya, Kerajaan Negeri akan meminta semua ketua kampung termasuk Kampung Tradisi Cina dan India untuk bersama-sama terlibat dalam perkara ini.

Jelasnya, penggunaan dana untuk pembangunan desa ini hanya akan dibentangkan melalui Belanjawan Negeri pada November nanti.

“Ia dilaksanakan secara kumpulan di mana setiap kampung diminta untuk membuat perancangan dan hasilnya nanti akan diadakan satu program seperti yang dirancang.

“Kampung yang mana akan diberi keutamaan masih belum diketahui kerana kita masih berada di peringkat pertama.,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.