Sabtu, 27 Julai 2013

Teknologi SPR




Oleh esmael

"SPR terus dipersoal kewibawaannya. Soalnya kenapa ? Mudah jawabnya, kerana SPR banyak menyimpan pelbagai cerita misteri pilihanraya. Misteri yang belum terungkai. Tetapi mengikut keperluan peruntukan dalam beragama, kebatilan akan terselah jua akhirnya. Maka benarlah kata pepatah bangkai gajah masakan dapat ditutup ? Lalu soalnya bila ? Tiada siapa yang boleh menjawab dengan tepat, sama-samalah bersabar dan tunggu episod seterusnya

Mempersoalkan integriti SPR bukan sahaja dari pembangkang malah pihak kerajaan sendiri. Tanda ketidakpuasan tentang keputusan pilihan raya lalu adalah sebagai buktinya. Kesilapan dan kecuaian SPR menjadi-jadi, membuat keputusan berat sebelah atau bermain silap mata seperti kejadian karan terputus ketika undi dihitung. Berlaku juga peti undi yang lambat sampai seperti dibeberapa tempat dikepulauan Langkawi, tidak seperti pilihanraya sebelum ini, walaupun pada hari pengundi lautan dipersekitaran kepulauan tersebut seperti hamparan karpet, dan kemudahan teknologi laut dan pengangkutan yang semakin canggih, tapi capaian antara pulau-pulau semakin sukar nampaknya. Atau heli pembawa peti undi tidak dapat mendarat pada waktunya di kawasan pendalaman Sabah, cuaca buruk dan amat membimbangkan ! Ahhh pekerja ladang teh di pendalaman Sabah sebenarnya tidak mengundi kerana mereka berbangsa Bangla atau pekerja upahan dari pergunungan di Tibet. 

SPR sebuah badan yang sedang bergerak ke belakang dalam sebuah negara yang mempunyai multimedia super koridor. Koridor yang digerakan oleh bekas Perdana Menteri ketika revolusi teknologi maklumat mula mempengaruhi dunia sebagai agenda dan tatacara hidup masyarakat masa depan. Bekas PM berharap inilah pacuan terbaik menyambut cabaran ini selari dengan hasrat meningkatkan persaingan negara dalam teknologi maklumat. Namun gagasan ini telah banyak kali memakan tuan. Kerajaan menjadi lemas, kaku dan ketaktahuan bila berdepan dengan aliran maklumat melalui teknologi yang semakin canggih ini. Bekas PM banyak kali mengeluh dengan dasar langit terbuka yang diusahakannya seperti Firaun mengeluh dengan karenah anak angkatnya Nabi Musa. 

SPR mengikut jejak negara India dan Bangladesh apabila membuat keputusan menggunakan dakwat celup jari bagi mengelak berlaku penipuan semasa pembuangan undi. Teknologi lama dan telah juga lama digunakan di negara tersebut. Tetapi ia menjadi isu besar dan menampakkan kegagalan apabila berlakunya bermacam-macam bantahan pada pilihanraya lepas. Ketuanya sendiri pernah mengakui tentang kelemahan ini. Yang jelas SPR mendakwa dakwat yang digunakan bersifat kekal, tetapi hanya kekal untuk beberapa jam sahaja atau akan hilang sekelip mata apabila jari berdakwat itu diumpal dengan rumput-rumput di tepi jalanan yang berklorofom itu. 

Persoalannya sekarang, mengapa Malaysia yang selalu mengangap dirinya telah maju dalam banyak bidang berbanding dengan negara mundur lain mesti mengikut negara pengeluar kain pelikat terkenal di dunia itu ? Mengapa dalam hal ehwal keselamatan proses pengundian tidak sahaja Malaysia mengikut jejak negara maju lain di Eropah atau Amerika ? 

Negara maju seperti Jepun atau Korea, mereka akan mengenalpasti sesuatu masalah. Setelah masalah tersebut dikenal-pasti, baharulah mereka akan mengemukakan cadangan untuk diimplimentasi kaedah yang lebih baik. Cara implimentasi mereka biasanya berdasarkan kepada penggunaan teknologi pantas, tepat dan tidak membosankan. Pada masa yang sama, para penipu dan penyangak dalam pilihanraya seharusnya dianggap sebagai penjenayah yang tiada maaf bagimu. Mereka akan dikejar, ditangkap, dibicara dan dihukum mengikut keperluan perundangan. Tetapi hal sedemikian tidak berlaku. Para penipu dan penyangak pilihanraya lepas bebas, tetapi para pengundi dan rakyat yang tidak bersalah pula yang dihukum. Tidak pasal-pasal jari-jemari mereka terpaksa dikotorkan demi menegak sistem pengundian yang laput. 

Meredah ke alam maya, kita akan menemui halaman sesawang kepunyaan SPR. Agak canggih dan bermaklumat juga halamannya. Layanan teks dan multimedia serta pangkalan data untuk semakan daftar pemilih secara atas talian dengan menggunakan telefon pintar ! Ah macam tidak percaya aku. Satu sentuhan teknologi yang uptodate dan banyak membantu. Dan sekiranya pengunjung dari luar negara ke laman tersebut sememangnya mereka menyangka sesuatu yang lebih canggih sedang berlaku kepada sistem pilihanraya di negara ini. Mereka memikirkan bahawa rakyat di negara ini tidak perlu beratur panjang di pusat-pusat pembuangan undi seperti di sekolah atau dewan serbaguna dengan kawalan pegawai keselamatan bersenjata. Sebaliknya mereka memikirkan rakyat Malaysia hanya membuang undi menggunakan mesin kekunci sentuh yang diletakkan di kawasan awam seperti pusat membeli belah, stesyen bas dan keretapi atau pangkalan feri dan lapangan terbang, tanpa kawalan keselamatan yang ketat, kerana segala kerja remeh-temeh dan membosankan itu diserahkan kepada kecanggihan komputer bulat-bulat. 

Namun perkara sebaliknya berlaku di pentas-pentas pilihanraya. SPR masih ditakuk 60an. Kalau dulu senarai pengundi ditaip dengan menggunakan mesin taip, kini senarai pengundi dalam cetakan komputer, itu saja. Komputer yang mereka perolehi disimpan di pejabat untuk kegunaan benda yang tidak berfaedah seperti berfacebook atau mengintai gosip dan cerita karut disaluran youtube. Senarai bercetak yang dikeluarkan itu sering menimbulkan banyak kontroversi tentang kesahihannya. Banyak komplain yang kita dengar senarai ini tidak ngam dengan realiti pengundi. Namun SPR seolah-olah tidak mengambil pot dengan rungutan dan aduan. Soalnya kenapa SPR tidak membuat semakan pendaftaran secara talian semasa pilihanraya bagi mengatasi masalah kekeliruan yang timbul ? 

Aduh ! mungkin hujahnya begini. Bukan semua pusat mengundi mempunyai kemudahan komputer. Hatta sesetengahnya pusat pengundian di pendalaman tidak mempunyai bekalan elektrik. Talian komputer yang lemah, kemahiran staf menggunakan komputer masih tidak setimpal bla bla bla, itu adalah modul jawapan yang akan kita dengar. Kalau itulah jawapannya, maka ia adalah tepat dan benar untuk kawasan yang mundur dan pendalaman, tetapi ia tidak tepat untuk Kuala Lumpur atau Petaling Jaya, juga Tasek Gelugor atau Gurun Kedah, mungkin juga di pekan Gua Musang. 

Sesungguhnya komputer direka dan dibina atas kapasiti untuk menyelesaikan masalah remeh-temeh seperti ini. Ia juga bertujuan menyelesaikan perkara yang lebih besar seperti penjimatan kos operasi dan pengendali. Seandainya masalah celop jari dalam botol dakwat di atasi dengan menggunakan solusi komputer tentunya masalah ini dapat diselesaikan dengan tuntas. Hanya keperluan pengubahsuaian atau kemaskinian komputer sahaja dari semasa ke semasa. Lagipun solusi ini tidaklah semahal kos membayar harga dakwat atau membayar elaun FRU atau RELA serta belanja isian minyak untuk bersesak ke pusat pembuangan undi. 

Beberapa negara di Afrika seperti Tanzinia telah mengumumkan akan menggunakan biometric electoral system, yang mendakwa sistem ini akan menghasilkan proses pengundian lebih selamat dan keputusan yang tepat dan lebih dipercayai. Sistem ini pada asasnya mampu mengesan capjari atau wajah pengundi. Pengimbasan pada wajah atau jari-jemari akan dipadankan dengan pangkalan data untuk memastikan pengundi berkenaan sah atau tidak. 

Negara seperti Tanzinia atau Uganda yang dianggap lebih mundur dari Malaysia (tapi dalam sukan mereka lebih power dan advance) pun lebih yakin dan percaya kepada kemampuan komputer berbanding dakwat, maka kita tidak pasti petajalan (roadmap) SPR dalam melayani karenah pilihanraya. Sistem tidak perlu diubah, namun pendekatan perlu diubah bersesuaian dengan masa. Kadang-kadang mengundur ke belakang adalah alasan terbaik untuk tidak terus ke depan !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.