Rabu, 31 Julai 2013

Selangor Tangguh Hantar Pelajar Ke Mesir


Halimah Ali PC EXCO 6 FEB 2013 01

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengambil keputusan menangguhkan penghantaran 95 pelajarnya ke Mesir sehingga situasi keselamatan terjamin.

Kerajaan Negeri turut memutuskan akan menempatkan pelajar terlibat yang mengikuti pengajian jurusan agama ke Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai pilihan alternatif.

Kerajaan Negeri juga menawarkan tempat kepada pelajar jurusan perubatan bagi mengikuti pengajian asasi sains di Universiti Selangor (Unisel).

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang sebelum ini bersetuju untuk menaja mereka ke Mesir telah diminta untuk meneruskan penajaan mereka di penempatan baru ini,”katanya.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tengahari tadi.

Kerajaan Negeri juga meminta agar pihak ibu-bapa dan orang ramai yang terlibat agar bertenang dan berdoa  semoga situasi yang berlaku di Mesir itu akan pulih dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau dan menyelia perkembangan terkini dari masa ke semasa terutama berkaitan keselamatan pelajar Selangor di Mesir,” ujar Dr Halimah lagi.

Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang dipilih rakyat digulingkan Tentera Mesir dalam satu rampasan kuasa baru-baru ini.

Tindakan tersebut mendapat bantahan jutaan rakyat Mesir dengan mengadakan demontrasi besar-besaran.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila pihak tentera baru-baru ini menembak mati lebih 100 penunjuk perasaan tersebut dan sekaligus menimbulkan suasana tidak selamat di negara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.