Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan RM400 juta yang
dinyatakan pada persidangan Dewan Rakyat adalah jumlah siling yang
diluluskan Kementerian Kewangan dan bukan jumlah sebenar perbelanjaan
mengendalikan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata jumlah
sebenar perbelanjaan PRU-13 hanya akan dapat diketahui apabila akaun
perbelanjaan PRU13 ditutup memandangkan bayaran masih dilakukan
pejabat-pejabat SPR negeri.
"Dalam soal bajet, kita telus kerana perbendaharaan akan pastikan
setiap kos pada PRU disertai dengan butiran-butiran dan akhirnya akan
diperiksa dan diaudit.
"Berdasarkan pengalaman kita, selalunya tidak melebihi jumlah besar
atau jumlah siling yang diluluskan.
Dasar SPR adalah ketika meminta
peruntukan, kita tidak mahu apabila sampai setengah jalan, bajet tak
cukup. Jadi kita akan membuat permintaan untuk jumlah atau anggaran
besar itu," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.
Anggota Parlimen pembangkang mempersoal jumlah perbelanjaan SPR yang
meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM200
juta pada PRU12.
Anggota Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook menyifatkan sebagai
tidak wajar pertambahan perbelanjaan seratus peratus walaupun bilangan
pengundi yang terlibat hanya bertambah 20 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam
jawapan bertulis kepada Loke pada Isnin lepas menyatakan kos
perbelanjaan mengendalikan PRU13 adalah RM400 juta, dengan pecahan kos
adalah elaun lebih masa RM5.018 juta, sewaan pengangkutan, borang semak
daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks dan
lain-lain RM98.465 juta, bayaran perkhidmatan dan saguhati semua petugas
PRU RM204.1 juta serta perbelanjaan lain RM93.354 juta.
Wan Ahmad menjelaskan pertambahan siling peruntukan itu dibuat
berdasarkan anggaran yang dikemukakan pejabat SPR setiap negeri sebelum
dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Perbendaharaan.
"Setiap kali bila ada PRU, memang peruntukan meningkat sejajar dengan
keadaan semasa. Biasanya Perbendaharaan lulus secara jumlah besar dan
pengagihan bajet diberi berperingkat-peringkat, termasuk sebelum PRU,"
katanya.
Sebagai contoh, setahun sebelum PRU13, SPR membuat pelbagai persiapan
seperti mengadakan latihan kepada petugas-petugas di setiap negeri yang
perlu dilakukan beberapa kali. Semua ini melibatkan kos dan merupakan
sebahagian daripada peruntukan yang diluluskan itu, katanya.
Katanya keseluruhan petugas SPR pada PRU13 kira-kira 235,000,
termasuk pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus, pegawai dan
anggota penguatkuasa, petugas di tempat mengundi dan pemandu arah.
Wan Ahmad juga menafikan para petugas diberikan bonus.
"Tidak ada bonus, cuma elaun sahaja. Laporan kata petugas SPR dapat
bonus adalah tidak tepat sama sekali. Untuk elaun, itu memang meningkat
sebab kita mengambil kira kos inflasi dan sebagainya."
Beliau menjelaskan caj perkhidmatan dan saguhati untuk petugas SPR
adalah besar memandangkan ia melibatkan pembekalan topi, baju-T SPR,
vest SPR, payung serta cenderahati lain seperti pen, cakera padat (CD)
dan buku panduan.
"Bayangkan semua ini untuk 235,000 petugas. Jangan lupa cenderahati
turut diberi kepada mereka yang menghadiri taklimat pilihan raya,
termasuk wakil-wakil parti politik dan petugas mereka," katanya.
Beliau juga berkata SPR perlu menanggung kos petisyen pilihan raya
selain menjelaskan perbelanjaan di sesetengah kawasan Parlimen memang
lebih tinggi berbanding yang lain berikutan kedudukan geografi.
"Di Sabah dan Sarawak sahaja, untuk PRU-13, SPR menyewa lebih 60 helikopter dan lebih 1,000 bot laju," katanya.
Walaupun Anggota Parlimen pembangkang mempertikai kewajaran
pertambahan perbelanjaan SPR, rakan mereka daripada Barisan Nasional
berpendapat pertambahan peruntukan itu sebagai sesuatu yang perlu
dilakukan.
"Kalau tak cukup petugas, parti pembangkang juga yang kritik tak
cukup. Kalau lebih, mereka kata membazir. Bagi saya, yang penting setiap
peruntukan itu dibelanjakan dengan berhemah dan tidak ada
penyalahgunaan," kata Anggota Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Ming.
Lagipun, tempoh pilihan raya umum ke-13 lebih panjang berbanding
sebelumnya dan turut menyumbang kepada pertambahan perbelanjaan.
"Kali ini, kita ada dua minggu tempoh berkempen. Ia adalah satu angka
berkadar. PR (pakatan pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai
Pakatan Rakyat) yang mahukannya (tempoh berkempen)lebih panjang,
sekurang-kurangnya 21 hari," kata Anggota Parlimen Labis (BN-MCA) Datuk
Chua Tee Yong.
Walaupun jumlah perbelanjaan pilihan raya kian meningkat, Wan Ahmad
berpendapat ia tetap berbaloi dengan tujuan pilihan raya itu diadakan.
"Kita perlu melihat daripada sudut kesinambungan proses demokrasi.
Tidak ada salah. Sebab itu ada negara-negara maju yang sanggup
berbelanja berjuta-juta ringgit membantu negara mundur mengadakan proses
demokrasi mereka.
"Bagi negara kita, tak ada satu sen pun kita minta sumbangan daripada
luar sebab kita nak jaga kedaulatan proses demokrasi di negara ini,"
katanya ketika mengakhiri temu bual. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.