Isnin, 1 Julai 2013
RCI diberitahu pendatang asing lebih setia, berpengalaman
Oleh Mohd Farhan Darwis
Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan dengan pendatang asing di Sabah hari ini diberitahu pendatang asing dari Filipina dan Indonesia lebih setia kepada majikan dan lebih berpengalaman dalam menjalankan tugas berbanding pekerja tempatan.
Pengurus Kumpulan Liziz Sdn Bhd, Chong Fook Soon berkata kepada panel RCI beliau menggaji pekerja asing bukan disebabkan tiada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan tetapi disebabkan pekerja asing lebih berpengalaman ketika bekerja.
"Mereka tak buat masalah, kecuali ada yang tidak mahu pulang ke negara asal ... mereka bekerja dengan setia," kata Chong kepada panel RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini.
RCI yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong sebelum ini telah diberitahu terdapat pelarian Filipina yang diberikan kad pengenalan dan menjadi warganegara walaupun penggunaan dokumen IMM13 itu berdasarkan peruntukan undang-undang tidak membenarkan mereka memperolehi dokumen tersebut.
Jelas pengurus kepada projek pembinaan jalan raya di Kalabakan itu lagi, beliau menggaji 20 pekerja asing dari Filipina dan Indonesia, yang mempunyai pengalaman dalam bidang elektrik dan mekanik.
"Pekerja asing saya semuanya mempunyai dokumen yang lengkap ... Proses menguruskan dilakukan oleh agen, dan kos setiap seorang sekitar RM3,500 termasuk levi, permit dan sebagainya.
Beliau turut menempatkan mereka di kuarters yang dilengkapi kemudahan elektrik dan air, termasuk pengangkutan ke tempat kerja.
"Berbanding pekerja tempatan, warga asing ini bekerja lebih lama, ada pekerja tempatan yang ponteng kerja dan bertukar-tukar kerja, yang tidak berlaku kepada warga asing," katanya lagi.
Sesi RCI pada Mei telah diberitahu Sabah mengeluarkan kad pengenalan 12 kali lebih tinggi berbanding Sarawak dengan 66,000 pendatang asing di Sabah telah menerima kad pengenalan biru sejak 1963.
Sementara itu, saksi ketiga hari ini dan 142 untuk sesi RCI, Ketua Cawangan Perundangan dan Penguatkuassan Jabatan Perikanan Sabah, Mohd Yusof Anthony Abdullah berkata majoriti kes pengeboman ikan di Sabah dilakukan warga asing dari Filipina.
"Mereka menggunakan peledak yang tidak boleh didapati di Malaysia, hanya boleh didapati dengan harga kurang RM10 di Filipina," katanya kepada panel RCI.
Jelasnya lagi, antara yang ditahan pihak Jabatan Perikanan adalah warga Filipina dengan kad IMM13, kad pelarian perang dari Filipina ke Sabah.
"Ada juga rakyat tempatan, ada juga yang ditahan menggunakan kad pelarian perang," katanya.
Bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa, kumpulan nelayan itu turut menjadikan hasil tangkapan mereka sebagai ikan kering dan ikan masin di laut, dan hanya menjualnya ke darat kerana ikan yang dibom boleh dikenal pasti melalui tekstur luaran dan juga berlaku pendarahan dalaman di bahagian dalam ikan berkenaan.
"Itu agak sukar untuk kami kenalpasti," katanya lagi.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak Datuk Abu Bakar Geng sebelum ini memberi keterangan sebanyak 5,373 pendatang di Sarawak telah diberikan IC biru dari 1963 hingga 2012.
Dianggarkan sekitar 28 peratus daripada 3.2 juta penduduk Sabah adalah warga asing, menjadikannya berjumlah sebanyak 889,000 orang.
Kemasukan pendatang asing tanpa izin telah menimbulkan kemarahan masyarakat pribumi Sabah seperti Kadazandusun dan Murut (KDM), yang merasakan kedaulatan dan masyarakat tempatan negeri Borneo itu menerima ancaman, termasuk dari segi politik dan juga sosial daripada warga asing Filipina dan Indonesia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.