Oleh: Mat Zain Mat Isa
BAGAI diduga sedari awal, Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu.
Dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung pada
Rabu (24 Julai), calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37,
menewaskan calon PAS Haji Azlan @ Endut Yusof, 48, dengan majoriti
2,592 undi.
Tengku Zaihan memperolehi 8,288 undi berbanding Azlan, yang lebih popular dengan panggilan Che Long, mendapat 5,696 undi. Kedua-dua jumlah undi itu bagaimana pun menyaksikan penurunan berbanding undi diperolehi setiap parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Jumlah
undi diraih calon BN, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar pada Mei lalu
ialah 8,809. Ia merosot 521 undi dalam PRK ini. Begitu juga di pihak
PAS, mengurang sebanyak 679 undi berbanding 6,375 undi dikutip Puan
Napisah Ismail dalam PRU-13 lalu.
Kemerosotan
ini dipercayai ekoran peratus keluar mengundi yang lebih rendah kali
ini. Dilaporkan hanya 14,108 atau 79.78 peratus daripada 17,683 pengundi
berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Ia merosot agak
banyak berbanding 86.70 peratus atau 15,328 daripada 17,679 pemilih
berdaftar pada PRU lebih dua bulan lalu.
Hal
itu bagaikan sudah dijangka. Pelbagai pihak sebelum ini, terutamanya
para pemimpin dan pendukung pembangkang, telah meluahkan rasa terkilan
di atas pemilihan tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR). Ia seakan disengajakan bagi menyulitkan pengundi, terutama yang
berada di perantauan untuk pulang mengundi.
Pertama,
ia terlalu hampir dengan tarikh hari raya (dua minggu). Hal ini
menyebabkan pengundi yang tinggal jauh dari Kuala Besut, terutama yang
kurang berkemampuan, terpaksa memilih antara pulang untuk pilihan raya
atau menunggu balik untuk hari raya. Kelihatannya, mereka lebih memilih
untuk pulang berhari raya sahaja.
Kedua,
hari pengundian jatuh pada Rabu. Ia adalah hari bekerja, sama ada untuk
penjawat awam, swasta, pekerja sendiri mahu pun yang menjadi nelayan
setempat. Agak sukar bagi mereka mengambil cuti memandangkan Rabu berada
di tengah-tengah minggu, bukannya di awal atau hujung minggu. Maka
tidak mustahil ramai antara mereka memilih untuk meneruskan jadual kerja
dan mengabaikan tanggungjawab mengundi.
Ketiga
dan paling membebankan ialah apabila tarikh itu (24 haribulan) para
pengundi dari kalangan penjawat awam belum mendapat gaji bulanan mereka.
Jika pun ada jabatan/majikan membayar gaji pekerja pada tarikh
berkenaan, bagi mereka yang berada di perantauan, perjalanan pulang
sudah pun dibuat sehari sebelumnya. Maka bagi yang terpaksa menunggu
kemasukan gaji bulan ini, mereka kemungkinan terpaksa melupakan saja
hasrat pulang mengundi.
Selain
itu, ada juga persepsi di kalangan pengundi bahawa kepulangan mereka
sukar mengubah keadaan. Majoriti lebih 2,400 undi pada PRU lalu agak
selesa buat BN mengekalkan kemenangan.
Persepsi
ini wujud di kalangan kedua-dua pihak. Pengundi yang sayangkan BN
berasa yakin dengan keadaan itu. Manakala pengundi PAS tidak meletakkan
harapan tinggi parti mereka mampu mengatasi BN, lebih-lebih lagi dalam
sebuah pilihan raya kecil yang sedia dimaklumi dihujani segala macam
taktik dan strategi kotor pihak lawan. Lalu mereka merasakan jikalau
keluar atau tidak keluar mengundi kali ini pun, tidak akan mengubah
keadaan.
Kesemua pertimbangan itu dipercayai menjadi penyebab utama 1,220 pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi dalam PRK ini.
Sepertimana
lazimnya, setiap kemenangan BN akan dijadikan bukti sokongan dan
keyakinan rakyat yang masih kekal kepada parti itu. Para pemimpin BN
berlumba-lumba membuat kenyataan kononnya kemenangan ini bukti Umno
tetap di hati penduduk Kuala Besut. Kononnya juga calon dikemukakan BN
diterima baik oleh rakyat.
Malah
Timbalan Perdana Menteri selaku Pengarah PRK nyata tersasul apabila
mendakwa kononnya undi diperolehi calonnya kali ini meningkat berbanding
PRU-13 lalu. Kenyataan itu sangat tidak cermat dan menyalahi fakta yang
diperakui semua pihak.
Sepertimana
disebutkan di atas, dan disahkan keputusan rasmi oleh SPR, undi dikutip
kedua-dua parti menunjukkan kemerosotan. Maka, tidak sepatutnya ada
pihak termasuk BN mendakwa ia telah berjaya menambah undi atau
meningkatkan sokongan.
Satu-satunya
perangkaan yang menampakkan peningkatan di pihak BN ialah jumlah undi
majoriti. Ia meningkat sebanyak 158 undi sahaja berbanding 2,434 pada
PRU lalu. Namun itu pun bukan kerana jumlah undi dipungut parti itu
bertambah. Ia hanya kerana jumlah kemerosotan undi di pihak PAS lebih
besar berbanding penurunan undi BN. Itu saja, dan ia bukanlah pencapaian
membanggakan buat BN!
Apatah
lagi agak jelas daripada hakikat itu betapa dengan segala kerahan
tenaga, kewangan dan taburan segala macam janji, bantuan segera, projek
segera dan sebagainya, BN hanya mampu meningkatkan majorit 158 undi.
Sedangkan jumlah dicongak pada janji projek-projek bakal dilaksanakan di
Kuala Besut melangkaui RM476 juta.
Ishhh... hanya 158 undi untuk RM476 juta? BN patut malu nak berbangga dengan kemenangan ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.