Ahmad Lutfi Othman |
Pada hujung minggu, anak-anak Jamal Azahari dibimbing di rumah; mereka tidak pernah mendapat pendidikan formal sejak kecil.
Reaksi pembaca Harakah begitu membanggakan sekali. Alhamdulillah. Setiap kali rayuan disiarkan, kami tidak pernah kecewa. Ya, sejak tabung keluarga tahanan ISA dilancarkan lebih enam tahun lalu, ia banyak membantu dan sokongan orang ramai jarang terputus.
Secara peribadi, saya berasa lega dan lapang. Misi ke Sandakan, 19 Mei lalu, hampir tercapai. Saya yakin, Jamal Azahari yang kini terkurung di penjara Manila, selepas dibebaskan lima tahun lalu dari Kamunting, tentu dapat menarik nafas panjang.
Empat dari tujuh anak-anaknya, yang menetap bersama ibu mereka, Norhatta Paraji, di Batu 18, Sandakan, sudah mula bersekolah. Ramai terusik dengan kisah anak-anak malang yang tidak pernah mendapat pendidikan formal itu. Mereka menyalurkan sumbangan untuk memastikan anak-anak Norhatta tidak terus ketinggalan dan terpinggir.
Saya merakamkan penghargaan setingginya terutama buat seorang dermawan budiman dari Jabi, Besut dan puluhan lagi penyumbang, termasuk seorang wanita dari Klang. Mereka tidak pernah mengenali Jamal Azahari dan Norhatta, tetapi dana yang disalurkan begitu melegakan kami. Moga ia dinilai sebagai amal soleh di sisi Allah dan mendapat ganjaran sebaiknya di akhirat.
Ada pengetua sekolah agama dan tahfiz menawarkan tempat secara percuma. Cuma, bebanan sebagai warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri membataskan mereka untuk ke Semenanjung. Dan anak-anak ini perlu dibimbing secara khusus dan personal, terutama di peringkat awal.
Tidak mudah buat anak-anak tercicir ini untuk menyesuaikan diri dengan alam persekolahan. Justeru, hari-hari pertama di Sekolah Agama Rakyat Nurul Ihsan, Kg Tinusa 1, Sandakan pasti mencabar, malah hanya anak perempuan, 11 tahun, dapat bertahan di asrama, sementara dua abang kembar, 14, dan adik lelakinya, 10, memerlukan lebih banyak masa; mereka mahu berulang-alik ke sekolah, jaraknya 20km dari rumah!
Sejak awal saya jangkakan mereka akan diasak kejutan budaya dengan dunia baru. Selama ini, di kediaman usang yang cukup daif, mereka terpisah daripada lingkungan. Mereka hidup dalam persekitaran sendiri yang terasing.
Oleh itu, bagi saya, anak-anak ini wajar dijinakkan terlebih dahulu dengan suasana persekolahan yang dinikmati rakan sebaya. Mereka perlu diberi tuisyen pemulihan khas yang lebih santai supaya dapat ditingkatkan keupayaan belajar dalam kadar segera.
Dalam masa sama, rumah berteduh harus dipulihkan agar menjadi kediaman yang dapat membantu kecerdasan anak-anak ini. Rakan saya di Sandakan, Suaidah, sentiasa memaklumkan perkembangan ubahsuai rumah itu. Harapnya, menjelang Ramadan ini, ia dapat disiapkan.
Sumbangan anda masih diperlukan, bukan saja untuk keluarga Norhatta, malah buat mangsa yang terus teraniaya di Tawau, yang mengunjungi pejabat Harakah baru-baru ini, selain keluarga bekas tahanan yang wajar terus dibantu. Salurkan terus akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM, no 5640 7000 0336.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.