Umpan tunai umrah RM3,900
Pemilik agensi umrah berkenaan (kiri) bersama salah seorang ejennya.
 
Umpan tunai umrah RM3,900
Alias Yunus bersama isterinya menunjukkan visa yang sudah dibuat untuk mengerjakan umrah.
 
Umpan tunai umrah RM3,900
Sebahagian daripada mangsa yang ditipu oleh agensi umrah membuat bantahan di sebuah restoran di Kota Damansara, semalam.
 
Modus operandi agensi

DENGAN menawarkan pakej umrah murah, sebuah syarikat berjaya memperdaya orang ramai untuk menyertai pakej umrahnya.

Syarikat ini melalui ejennya yang dilantik akan menawarkan pakej umrah dengan serendah RM3,9000 ini kepada orang ramai.

Jika seseorang itu berminat dengan pakej itu, ejen syarikat berkenaan akan meminta mereka mendaftar dahulu dengan syarikat untuk membuat tempahan bagi menjalankan umrah.

Selepas itu, mereka akan diminta membayar RM2,000 sebagai wang pendahuluan dan syarikat berkenaan akan meminta pelanggan untuk membayar wang selebihnya secepat mungkin.

Melihat pelanggan sudah masuk ke dalam ‘perangkapnya’, syarikat itu akan memberi ‘janji manis’ kepada pelanggannya mengatakan mereka akan menyelesaikan semua urusan umrah itu secepat mungkin.

Tambahan pula, syarikat tersebut akan meminta pelanggannya untuk membayar seperti kos penerbangan, kos penginapan dan bermacam lagi.

Apabila tarikh untuk pelanggannya untuk bergerak menunaikan umrah semakin dekat, syarikat itu akan menunda penerbangan pelanggannya dan memberikan pelbagai alasan mengatakan mereka masih belum menyelesaikan beberapa perkara.

Syarikat yang dinaungi oleh seorang yang bergelar Datuk yang terletak di Kota Damansara itu berjaya menipu ramai orang dan membuat keuntungan berjuta-juta ringgit.

Pengakuan mangsa penipuan agensi umrah
Mangsa Pertama

Mangsa pertama, Biyani Saad, 62 tahun mendapat tawaran untuk menawarkan umrah dengan harga murah daripada salah seorang agennya yang dikenali sebagai Shamsul, iaitu kenalan rakannya, pada awal tahun ini.

Biyani berkata, hanya lapan orang terpilih termasuk dirinya sahaja yang mendapat tawaran hebat itu iaitu pakej mengerjakan umrah bernilai RM3,900.

“Bagi orang lain yang ingin mengerjakan umrah, syarikat itu menawarkan harga RM4,450 dan ejen itu meminta saya mencari tujuh orang lagi untuk pergi mengerjakan umrah,” katanya.

Mendengar berita itu, Biyani terus memberitahu adik-beradiknya dan rakannya mengenai perkara itu.

Katanya, dia bersama lapan orang jemaah lain mendaftarkan diri untuk menunaikan umrah dan membuat menyelesaikan semua bayaran pada 5 Februari lalu.

Biyani berkata, ejen syarikat itu memberitahunya bahawa dia dan lapan orang jemaah lain akan berlepas untuk menunaikan umrah pada 10 Mei lalu.

“Walau bagaimanapun, agensi itu menukar tarikh penerbangan kepada 14 Mei atas alasan visa pelanggan masih belum siap,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, agensi itu beberapa kali menunda penerbangan jemaah dan mereka berjanji bahawa pelanggannya akan berlepas ke Makkah pada 13 Jun ini.

Kata Biyani, apabila sudah tiba waktu yang ditetapkan, dia cuba menghubungi ejen yang berurusan dengannya akan tetapi gagal dihubungi.

“Saya cuba menghubungi agensi itu tetapi usaha saya sia-sia apabila tiada siapa daripada agensi itu menjawab panggilan saya,” katanya.

Merasakan dirinya tertipu, dia terus membuat laporan polis mengenai insiden ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Mangsa kedua

“Saya tidak ke surau selama 10 hari kerana saya sangat kecewa dan sedih kerana mengetahui saya ditipu,” kata seorang lagi mangsa, Alias Yunus, 66.

Alias berkata, dia mengetahui tentang pakej umrah ini daripada saudaranya dan dia mengambil keputusan untuk mengerjakan umrah bersama isteri dan saudaranya.

Katanya, dia membayar wang deposit sebanyak RM2,000 pada Disember tahun lalu dan membayar RM1,900 pada 16 Mac yang lalu.

Menurutnya, seminggu selepas membuat bayaran kedua, agensi berkenaan memintanya untuk membayar RM200 kerana agensi itu mendakwa kos makanan di Makkah sudah meningkat.

“Atas kepercayaan sesama Islam, saya membayar wang berkenaan dalam tempoh dua hari,” katanya.

Alias berkata, pada awalnya, agensi itu memberitahunya bahawa tarikh penerbangannya ke Mekah adalah pada 25 Mei 2013.

Alias berkata, walau bagaimanapun, agensi itu menunda tarikh penerbangan beberapa kali atas pelbagai alasan.

“Mereka memberi alasan seperti bilik hotel yang ditempah oleh mereka untuk kami sudah penuh dan pelbagai alasan lain,” katanya.

Akhirnya, Alias berkata, akibat tidak tahan dengan agensi itu, dia bersama anaknya terus ke pejabat agensi itu di Kota Damansara dan dia terkejut apabila pejabat itu sudah tidak berpenghuni.

Alias berkata, dia sangat kecewa dan dia terus membuat laporan polis dan pihak tribunal mengenai perkara ini.

Tindakan pihak berkuasa

Menurut Presiden bahagian Pembangunan Halalan Toyyiban dan Hal Ehwal Islam, Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail, pihaknya sudah menerima kira-kira 1,500 aduan di Lembah Klang mengenai kes ini.

Beliau juga menjangkakan lebih ramai lagi yang tertipu kerana pihaknya hanya menerima aduan dari pengadu di sekitar Lembah Klang sahaja.

Aziz berkata, ada jemaah umrah dari negeri lain yang membuat aduan mengenai penipuan yang dibuat oleh agensi ini.

“Hasil penipuan ini, agensi ini berjaya mengaut keuntungan hampir RM6 juta,” katanya ketika ditemui selepas menemui mangsa yang ditemui di Kota Damansara, semalam.

Aziz berkata, beliau akan meneliti kes ini dan akan cuba membantu mangsa yang ditipu secepat mungkin.
“Saya berharap agensi ini dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata, beliau mengesahkan bahawa menerima laporan mengenai kes ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berkenaan kes ini dan belum tangkapan yang dibuat setakat ini.

"Kami masih siasat perkara ini," katanya kepada Sinar Harian.