Sabtu, 29 Jun 2013

SPR didesak dedah syarikat pembekal dakwat, kata NGO

Oleh Yiswaree Palansamy

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan masyarakat awam mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan syarikat pembekal yang diberikan kontrak dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini.

Perkara ini perlu dilakukan dengan segera supaya langkah serta-merta dapat diambil untuk memastikan kontroversi melibatkan dakwat tersebut tidak berulang pada pilihan raya kecil Kuala Besut yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

SPR berdepan tekanan selepas pendedahan di Parlimen baru-baru ini dimana bahan kimia dalam dakwat tersebut telah diganti dengan pewarna makanan yang menyebabkan ia mudah ditanggal.

Walaupun dengan pendedahan tersebut, timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan berkata dakwat tersebut akan masih digunakan dalam pilihan raya kecil.

Pengerusi Tenaganita Irene Fernandez berkata SPR menunjukkan sikap "tidak hormat" dengan keputusan untuk meneruskan menggunakan dakwat tersebut tanpa menyelesaikan masalah yang timbul dahulu.

"Ini adalah keangkuhan jelas dan berlagak sombong... apa lagi yang boleh dikatakan?" kata Fernandez kepada The Malaysian Insider.

Fernandez berkata, SPR perlu berhenti memalukan diri mereka sendiri.

Beliau juga menuntut kerajaan mendedahkan butir-butir syarikat yang membekalkan dakwat tersebut.
Presiden Persatuan Peguam Wanita Meera Sambanthar juga senada dengan desakan Fernandez yang menuntut kerajaan untuk mendedahkan butiran kontrak.

"Jika tiada apa yang hendak disembunyikan, maka SPR mesti mendedahkannya. Mengapa mereka memberi alasan walaupun banyak pihak yang mendesaknya?" soal beliau.

 "Ia hanya akan menimbulkan pelbagai persoalan kerana ia sudah menjadi isu nasional."

Pengarah Pusat Pengajian Dasar Awam, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Dr Ramon Navaratnam mengambil tindakan wajar bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang lagi.

Ramon merupakan salah seorang pemerhati semasa pilihan raya 5 Mei lalu, SPR perlu membuat perubahan dan memastikan mengambil tindakan sebelum pilihan raya kecil nanti.

"Mereka (SPR) juga mesti mendedahkan siasatan kepada umum," tambahnya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shahidan Kassim mengakui di Dewan Rakyat pada Rabu lalu pewarna makanan, bukannya nitrat perak yang digunakan dalam dakwat kekal.

Beliau berkata dakwat tertanggal kerana bahan kimia yang sepatutnya adalah punca dakwat tersebut mudah dibersihkan tetapi juga menyalahkan pengundi yang cuba membasuhnya sebagai punca ia tidak kekal.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga berhadapan tekanan daripada umum selepas dilaporkan beliau menerima surat daripada Kementerian Kesihatan mengatakan kerosakan buah pinggang dan risiko barah berkemungkinan dihadapi oleh pengundi sekiranya dakwat kekal mengandungi nitrat perak melebihi daripada satu peratus.

Dakwaan Aziz kemudiaan ditolak oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Subramaniam yang berkata laporan sedemikian tidak pernah dikeluarkannya serta mendakwa mereka tidak menerima permintaan untuk membuat analisis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.