Oleh Soraya Salim
Di sebalik pelbagai janji transformasi politik dan undang-undang oleh PM Najib sebelum PRU-13, pelbagai bentuk undang-undang yang menyekat kebebasan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini dan disalahgunakan saban hari untuk melindungi elit penguasa, sebagai contoh Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman, Akta Rahsia Rasmi dan lain-lain.
Ketidakjujuran kerajaan dan sikap membisu PM dalam usaha transformasi palsu ini amat menjengkelkan terutamanya apabila diberitakan masih ada 14 tahanan masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menteri Dalam Negeri pada 18 Jun 2013 dilaporkan berkata bahawa semua 14 tahanan akan dibebaskan serta-merta tetapi tidak menetapkan sebarang tarikh untuk pembebasan tersebut. Kenyataan ini hanya menyerlahkan sikap selektif Menteri Dalam Negeri yang dalam masa sama begitu agresif menangkap rakyat yang berhimpun secara aman dan melaksanakan Akta Hasutan terhadap ahli politik Pakatan dengan begitu tegas, tetapi tidak berpendirian dan tidak komited langsung dalam isu ISA.
Sewajarnya seorang yang bertaraf menteri harus memberikan komitmen penuh untuk membebaskan kesemua tahanan ISA serta-merta tanpa syarat dan menutup segera Kem Tahanan Kamunting yang merupakan simbol kezaliman ISA. Sampai bila lagi tahanan-tahanan ini harus meringkuk di bawah cengkaman ISA akibat kelewatan Menteri Dalam Negeri bertindak?
Kelemahan PM dan Menteri amat dikesali memandangkan telah hampir 2 tahun pemansuhan ISA diumumkan oleh PM dan hanya benar-benar dimansuhkan secara rasmi apabila Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (SOSMA) dikuatkuasakan pada 22 Jun 2012. Pelaksanaan SOSMA ini turut memperlihatkan sikap tidak ikhlas kerajaan untuk melaksanakan transformasi menyeluruh dan mengundang pelbagai perdebatan.
PM digesa untuk menyatakan pendirian yang jelas dalam isu pembebasan segera tahanan ISA dan harus buktikan kejujuran melaksanakan transformasi politik, bukannya membisu atau berkompromi dalam manjamin keadilan dan hak asasi rakyat. Menteri Dalam Negeri pula usahlah berdolak-dalik dalam mempercepatkan pembebasan tahanan tanpa bicara di bawah akta yang zalim ini. Kelewatan kerajaan dalam menangani isu ini hanya membuktikan bahawa pemansuhan ISA sekadar gula-gula BN untuk menghadapi PRU-13.
Selain pembebasan segera tanpa syarat, sebarang bentuk intimidasi kepada ahli keluarga tahanan harus dihentikan serta pelbagai syarat yang dikenakan kepada tahanan yang telah dibebaskan sebelum ini harus dihapuskan seperti larangan keluar daerah, lapor diri di balai polis dan pelbagai lagi yang melanggar hak kebebasan individu yang dijamin di bawah Perlembagaan.
Sekiranya gagal, benarlah persepsi rakyat bahawa pemansuhan ISA tidak ubah hanya sekadar gimik politik BN tanpa sebarang komitmen konkrit untuk transformasi menyeluruh. Bebas segera tahanan ISA tanpa syarat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.