SHAH ALAM : Perancangan pembangunan luar desa yang menjadi tumpuan Kerajaan Negeri bagi penggal terbaru akan dibuat berdasarkan kesesuaian penduduk setempat kata Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi.
“Industri yang terlibat itu nanti bergantung kepada hasil keluaran yang sesuai dengan penduduk sama ada pertanian, pembangunan atau sebagainya.
“Kita akan jalankan serentak dengan program-program Kerajaan Negeri yang lain. Fokus kita untuk kita membandarkan kampung, jadi apa yang dirasai oleh orang bandar juga dapat dirasai oleh orang kampung,” Sallehin berkata ketika ditemui di sini.
Beliau berkata setakat ini, satu jawatankuasa seketariat yang diketuai oleh Pegawai Perhubungan Politik, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sudah ditubuhkan.
“Banyak pihak yang akan terlibat dalam perkara ini daripada peringkat atas hinggalah akar umbi. Ini termasuk Saifuddin, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid, saya sendiri serta Ketua-Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Jawatankuasa ini sudah mula bergerak. Buat masa ini kita dalam peringkat untuk memantapkan di peringkat JKKK, pegawai daerah dan Ketua Kampung,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan di Masjid Negeri, di sini.
Sebelum ini, Abdul Khalid memaklumkan akan memberikan tumpuan yang lebih kepada pembangunan di kawasan desa Selangor seperti Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam.
Langkah itu supaya rakyat di kawasan-kawasan pendalaman tersebut dapat merasa nikmat kekayaan
Selangor yang selama ini tertumpu di kawasan bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam, Klang dan Ampang.
Usaha pembangunan tersebut meliputi pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan bangunan komersial, selain penjanaan industri kecil bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.