SATU lagi kesan positif Pilihan Raya Umum 2013 adalah kesediaan Barisan Nasional memikirkan sesuatu yang tidak mungkin, iaitu mengubah dirinya menjadi parti tanpa komponen.
Baguslah kalau Umno akan menubuhkan makmal khas mengkaji ura-ura itu,
tetapi secara peribadi, saya tidak menjangka yang parti-parti bangsa
dan kaum dalam Barisan Nasional akan bersedia membubarkan diri dan
bergabung menjadi sebuah parti tunggal.
Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, mungkin boleh “memujuk” kepemimpinan Umno untuk melayan (entertain) idea ini, tetapi saya tidak menjangka akar umbi Umno akan menerimanya. Umno adalah parti akar umbi!
Yang mungkin bersedia menimbang idea parti tunggal BN adalah
parti-parti komponen majoriti Cina yang nazak seperti Gerakan, MCA dan
SUPP.
Idea parti tunggal BN ini nampaknya dipengaruhi oleh cadangan Pemangku
Presiden Gerakan, Chang Ko Youn, agar BN mengamalkan sistem keahlian
terus (direct membership) yang pernah diamalkan oleh Perikatan sebelum diperbesarkan menjadi BN pada tahun 1973.
Saya tidaklah mahu membuat andaian yang Mohd Najib sekali lagi tunduk
kepada kehendak orang Cina apatah lagi selepas beliau sendiri
menyalahkan tsunami Cina sebagai punca ketidakcemerlangan prestasi
beliau dalam PRU 5 Mei lalu.
Umno Tambah Kuat, Kata Najib
Lagipun, seandainya Umno lebih kuat selepas PRU13 seperti Mohd Najib
dakwa ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, mengapa harus
ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi sebuah parti
tunggal?
Mengapa harus Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan
Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi
melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri
dalam PRU lalu?
Kalau Umno dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti
tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih
kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti
Melayu-Islam.
Lagipun, masalah pokok BN bukan organisasi atau struktur, tetapi imej dan persepsi kepemimpinan BN yang negatif.
Ubah struktur parti tanpa mengubah kualiti dan integriti kepemimpinan
tidak akan menjadikan BN lebih diyakini dan disokong oleh pengundi.
Meminjam dan mengalih ungkapan bahasa Inggeris, kepemimpinan Umno dan
BN haruslah “membezakan yang mana satu pokok dan yang mana satu hutan
belantara”. Wallahualam.http://kadirjasin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.