PERSOALAN ini mungkin mudah untuk dijawab sekarang. Apatah lagi dalam keadaan kita baru sahaja selesai PRU13.
Parti Barisan Nasional telah mengisytiharkan mereka berjaya membentuk kerajaan bagi memerintah Malaysia buat penggal yang seterusnya. Namun, apakah kerajaan ini akan kekal buat selama-lamanya? Sudah pasti tidak. Tiba masanya ia akan tamat atau ditamatkan.
Tiba masanya ia akan berubah atau diubah. Sama ada kerajaan yang ada pada hari ini diubah dan diganti dengan parti lain yang menjadi kerajaan, atau pun ia akan hancur dan musnah bersama hancur dan musnahnya dunia ini.
Kerajaan ALLAH tetap teguh
Jadi, milik siapakah kerajaan pada hari ini? Persoalan ini perlu dijawab dengan jiwa yang penuh keinsafan. Mengiktiraf kekerdilan diri sebagai seorang hamba di hadapan Tuhan.
Menyedari tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi milik ALLAH. Mempercayai bahawa di sana adanya sebuah kerajaan yang jauh lebih hebat dan perkasa. Kerajaan tersebut tidak akan musnah kerana ia milik Yang Maha Gagah. Kerajaan tersebut akan terus kekal, kerana ia milik Yang Maha Kekal. Ia tetap berdiri teguh, di saat dunia telah hancur luluh.
Milik siapakah kerajaan pada hari ini? Pada hari itu, tidak ada satu pun kerajaan yang kekal. Walaupun di dunia dahulu, mereka dianggap sebagai kerajaan yang kuat, stabil dan sukar digugat. Namun, apabila dunia sudah berakhir hayat, tidak akan ada yang terus berkuasa sampai ke akhirat. Ketika itu, akan ditanya “Milik siapakah kerajaan pada hari ini?”. Sudah pasti, ia adalah milik ALLAH, Tuhan Yang Maha Perkasa.
Di dalam surah al-Mukmin atau dinamakan juga surah Ghafir, ayat 13-16, ALLAH SWT menjelaskan:
“Dialah yang memperlihatkan kepadamu tanda-tanda (kekuasaanNya) dan menurunkan untukmu rezeki dari langit. Dan tiadalah mendapat pengajaran kecuali orang-orang yang kembali (kepada ALLAH).
Maka sembahlah ALLAH dengan memurnikan ibadat kepadaNya, sekali pun orang-orang kafir tidak menyukainya.
Dialah Yang Maha Tinggi darjatNya, Yang mempunyai ‘arash, Yang mengutus Jibrail dengan (membawa) perintahNya kepada siapa yang dikehendakiNya, supaya dia memperingatkan (manusia) tentang hari pertemuan (hari kiamat).
Iaitu hari ketika mereka keluar (dari kubur), tiada suatu pun dari keadaan mereka yang tersembunyi bagi ALLAH. (Lalu ALLAH berfirman): MILIK SIAPAKAH KERAJAAN PADA HARI INI?!. Ia milik ALLAH Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan”.
Tidak ada manusia mampu mendabik dada
Pada hari itu, tidak ada seorang pun yang mampu berdalih lagi. Tidak ada yang mampu untuk menipu. Tidak ada yang masih mendabik dada bahawa dialah manusia yang hebat, walaupun di dunia dahulu dia seorang yang berpangkat dan disanjung rakyat. Tidak kira siapa pun kita di atas dunia, pemimpin atau rakyat marhaen, orang biasa atau sultan yang bertakhta, si miskin atau pun si kaya, semua kita akan dibalas terhadap apa yang telah kita lakukan di dunia.
Oleh sebab itu, selepas ALLAH menegaskan bahawa kerajaan pada hari akhirat, ialah milik ALLAH, Tuhan Yang Maha Esa, terus disambung dengan ayat berikut:
“Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya ALLAH amat cepat hisabnya”. (Surah Mukmin: 17).
Mahu atau tidak mahu, semua kita pasti bertemu detik itu. Bersedia atau pun tidak, hakikat ini tidak mampu untuk ditolak. Inilah hari pembalasan bagi setiap perbuatan.
Setiap keikhlasan, kejujuran, keadilan dan amal kebaikan, balasannya jua kebaikan. Kezaliman, penindasan, penipuan, penyelewengan dan amal keburukan, balasannya jua keburukan. Melainkan jika si pelakunya mati dalam keadaan bertaubat, mudah-mudahan rahmat dan pengampunan Tuhan menjadi pengubat.
ALLAH, Tuhan yang kita sembah, sama sekali tidak akan tersilap dalam menjatuhkan hukuman di hari akhirat kelak. ALLAH, Tuhan Yang Maha Adil, tidak akan sama sekali menzalimi hamba-hambaNya. Sekiranya ALLAH mengazab manusia disebabkan dosa kejahatan yang dilakukan, sememangnya ALLAH berhak melakukannya, kerana Dia adalah Tuhan kita, Pencipta kita dan kita adalah hambaNya.
HukumanNya itu sama sekali tidak akan tersilap. Sekiranya ALLAH mengampunkan dosa keburukan yang manusia lakukan, sememangnya ia berhak, kerana Dia adalah Tuhan Yang Pengampun.
Renungi ungkapan Nabi Isa ibn Maryam yang membuktikan penyerahannya kepada ALLAH SWT memberikan balasan terhadap perbuatan kaumnya:
“Sekira ENGKAU menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah al-Maidah: 118)
ALLAH, Tuhan yang menguasai kerajaan langit dan bumi, tidak akan memungkiri janjiNya. Setiap janji yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis, pasti akan ditepati. Mereka yang benar dan mempertahankan kebenaran akan mendapat nikmat yang membahagiakan. Oleh sebab itu, di dalam ayat 119-120, surah al-Maidah dinyatakan: “ALLAH berkata: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.
Bagi mereka balasan syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. ALLAH reda terhadap mereka dan mereka pun reda terhadapNya. Itulah keuntungan yang paling besar.
Kepunyaan ALLAH kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di dalamnya, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.
Kerajaan ALLAH dan kebesaranNya mengatasi segala kerajaan dan kebesaran manusia yang ada di atas muka bumi ini.
Jika harta yang kita miliki akan musnah, jika pangkat yang kita sayangi akan punah, jika kekuasaan yang kita banggakan akan tersungkur rebah, maka apa yang akan kekal di saat kita menghadap ALLAH?
Percayalah, yang kekal hanyalah jiwa yang tenang, menghadap Pencipta dengan penuh harapan, menantikan nikmat ganjaran di atas amal kebaikan yang dilakukan. “Hari itu tidak lagi berguna harta dan anak pinak.
Kecuali orang-orang yang menghadap ALLAH dengan jiwa yang bersih”. (Surah al-Syu’ara’: 88-89).
Jika segala kuasa, pangkat, kekuasaan dan kebesaran yang kita miliki hari ini tidak akan kekal, maka adakah layak untuk kita sombong dan bongkak sesama manusia? Adakah patut untuk kita menindas hak manusia lain?
Pada hari itu, yang dizalimi akan mendapat keadilan, yang teraniaya akan terbela. Jika kita kecewa dengan penindasan di dunia, usah berputus asa. Teruskan usaha menegakkan hak dan keadilan, berpandukan syariat yang ditetapkan.
Bakinya, serahkan kepada ALLAH, Tuhan Yang Maha Bijaksana. Tidak akan ada satu pun yang akan terlepas. Tidak ada satu pun yang dapat disembunyikan. Semuanya akan dihisab dan dibicarakan, di bawah kerajaan ALLAH, Yang Maha Adil. “Milik siapakah kerajaan pada hari ini?. Milik ALLAH Yang Maha Esa, dan Maha Mengalahkan”.
Penulis adalah Perunding Latihan dan Motivasi, RK Training & Management merangkap Pensyarah di International Islamic College (IIC).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.