ASPAN ALIAS
Rasuah itu satu jenayah yang
sangat besar dalam kehidupan seseorang tidak kira disisi masyarakat, kerajaan
dan lebih-lebih lagi disisi agama suci kita. Rasuah merupakan jenayah yang
paling awal dilakukan oleh manusia dan jika boleh dianggapkan sebagai budaya ia
adalah budaya yang tertua didunia ini
Rasuah amat dibenci oleh agama
kita kerana rasuah itu boleh menjatuhkan tamadun manusia dan sesebuah negara.
Itu sebabnya agama kita menganggap rasuah itu adalah satu dosa besar yang
disamakan sebagai seorang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi dalam
sistem masyarakat negara yang rasuah, kegiatan buruk ini kadangkala dibanggakan
oleh sipelakunya.
Apabila rasuah sudah menjadi
budaya seluruh manusia yang ada di dalam sistem itu akan terlibat dengan rasuah
itu samada secara ‘direct’ atau ‘indirect’ dan tidak ada sesiapa yang boleh
membetulkan persepsi rasuah itu dengan mudah tanpa mendapat tentangan dari
masyarakat yang menerimanya sebagai budaya tadi. Memerangi rasuah ini lebih
hebat dari menghadapi peperangan dua wilayah yang mempunyai kekuatan
ketenteraan yang besar.
Perjuangan menentang rasuah ini
adalah seperti anggota-anggota tentera yang menghadapi serangan musuh dari
luar. Sebelum memenangi peperangan itu ramai yang terkorban dan mati begitu
sahaja ditengah medan
perjuangan itu. Rasuah lebih hebat lagi dari peperangan Khandak kerana ia
melibatkan peperangan melawan nafsu sendiri. Melawan nafsu sendiri itu adalah
peperangan yang terhebat besarnya kerana ia terpaksa dilakukan sepanjang hayat
kita. Dalam perjuangan rasuah ini ia akan menjatuhkan ramai pemimpin yang baik
yang tidak terlibat bersama dengan budaya ini.
Di dalam peperangan Khandak
dahulu, Saidina Ali karammallah huwajhah telah bertanya kepada rasulullah
apakah peperangan yang lebih besar dari peperangan Khandak yang baru sahaja selesai
dengan kemenangan tentera Islam dalam bulan ramadhan itu. Islam yang hampir tewas
akhirnya memenangi peperangan itu. Rasulullah menjawab peperangan yang paling
besar ialah memerangi diri sendiri, yang membawa maksud memerangi nafsu syahwat
sendiri.
Justeru melawan dan berperang
dengan rasuah ini adalah peperangan yang sangat besar dan hebat kerana ia
merupakan peperangan melawan nafsu yang cenderung untuk melakukan kejahatan
termasuk rasuah. Jika kita tidak mempunyai kekuatan batin, mental serta
keteguhan agama yang tinggi dan kuat nescaya perjuangan itu akan terhenti ditengah
jalan sahaja.
Apabila satu-satu negara yang
rasuah sudah menjadi budaya rakyatnya, ia amat sukar untuk diperbaiki. Sebagai
contoh yang senang, jika seseorang yang dianiaya oleh pihak sesiapa, pihak
Polis adalah tempatnya kita mengadu untuk mempertahankan diri kita.
Tetapi dalam sebuah negara yang
rasuah pihak Polis ini belum tentu lagi berkemampuan untuk memberikan
perlindungan kepada pihak yang teraniaya tadi jika elemen rasuah sudah menjalar
kedalam Jabatan Polis itu. Pihak Polis mungkin menutup kes-kes seperti ini
kerana ada elemen yang mampu untuk menukar sikap Polis terhadap pengadu itu,
iaitu rasuah.
Kita boleh membawa sesuatu kes
penganiayaan itu kepada mahkamah. Mahkamah juga belum tentu boleh menjadi
tempat perlindungan bagi rakyat yang teraniaya tadi jika budaya rasuah juga
telah meresap kedalam Badan Kehakiman itu. Selalunya sistem yng telah tercemar
dengan rasuah itu tidak mudah dapat diperbetulkan kerana dalam kesemua
institusi demokrasi yang wujud itu dilacurkan oleh pimpinan politik yang berkuasa dan rasuah itu tadi.
Jika negara yang mengakui sebagai
sebuah negara demokrasi sekali pun, jika rasuah menjadi budayanya maka
demokrasi itu sendiri tidak akan terlaksana dengan betul. Pimpinan yang rasuah
dan gila kuasa akan menjahanamkan sistem pengasingan kuasa yang selalunya wujud
dalam sesebuah negara demokrasi itu tadi. Mereka yang berkuasa yang rasuah
tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan dengan baik dan betul.
Di negara kita pengasingan kuasa
diantara ‘judiciary’, legislatif dan eksekutif itu sudah mula dilacurkan pada
pertengahan tahun lapan puluhan dahulu. Politik dan eksekutif telah melacurkan
sistem pengasingan kuasa itu. Tidak payah kita ulas apa kah yang saya maksudkan
itu kerana blog ini sarat dengan ulasan itu sejak wujudnya blog ini. Sampai
kehari ini keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang dilaksanakan
dinegara ini dipersoalkan oleh mereka.
Apabila sistem itu sudah penuh
dengan rasuah, semua pihak terlibat dengan rasuah dan yang bercakap menentang
rasuah itu juga dilaungkan oleh mereka yang rasuah maka tidak mungkin penyakit
dan budaya hina ini akan dapat diperbaiki. Masing-masing mempertahankan
tindakan pihak yang lain yang rasuah kerana semuanya terlibat secara terus atau
secara ‘indirect’.
Maka dalam sistem yang sarat
dengan rasuah itu, ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain. Ia secara
‘head-on’ dengan memfitnah agamanya sendiri, memfitnah adat dan adabnya sendiri
dan akhirnya ia kehilangan identiti mereka sendiri. Agamanya akan terfitnah
dengan sendirinya kerana Islam tidak pernah membenarkan rasuah dilakukan oleh
umatnya lebih-lebih lagi pemimpinnya.
Islam difitnah oleh umatnya sendiri
kerana orang Islam sepatutnya teguh kerohaniannya dan tidak mudah terliur
dengan wang ringgit secara haram itu. Apabila seseorang dan kumpulan atau
kerajaan itu dipersepsikan sebagai rasuah, dengan sendirinya ia membayangkan
yang mereka tidak menghormati agamanya sendiri, maka tidak hairan jika Islam
dipandang sebagai agama yang tidak baik pada mereka yang bukan Islam.
Selagi Islam itu tidak di’addin’kan sebagaimana yang
dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini selagi itulah negara tidak
akan mendapat rahmat dan akan tetap berada ditahap dan situasi sekarang ini.
Maka jangan kita mengelak dari
melakukan perubahan itu, tetapi perubahan itu wajar dilakukan oleh pimpinan
yang mempunyai moral kepimpinan yang baik. Jika yang hendak melakukan perubahan
itu tidak selesai masalah moral dan peribadi mereka ia tidak akan membawa makna
kepada perubahan yang dilakukan itu.
Elakkan dari menggantikan
pimpinan yang ada dengan orang yang belum selesai masalah moral yang mereka
hadapi. Mereka yang sedang menghadapi isu moral serta kekurangan peribadinya, ia
tidak boleh dibenarkan memimpin dan mereka yang seperti ini elok duduk bersama
dibawah ini dengan orang seperti saya sahaja.
Mari kita hanya jadi penyokong
setia kepada pimpinan yang jujur untuk melakukan perubahan itu. Tidak payah hendak menjadi pemimpin, kerana
ia akan hanya membantutkan usaha untuk melakukan perubahan bagi negara yang
ketandusan kepimpinan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.