Khairy berkata beliau akan berbincang dengan FAM mengenai usaha membanteras masalah ulat tiket perlawanan bola sepak yang didapati kian aktif, agar tidak mengudang kekecohan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
"Satu perkara yang saya tidak puas hati adalah dari segi penjualan tiket. Kita nampak memang ada permintaan tinggi terutama untuk perlawanan akhir Piala FA, menyebabkan ramai penyokong bola sepak terpaksa beratur berjam-jam.
"Laporan yang saya terima menunjukkan ada yang dapat meniru tiket secara pukal dan dijual pada harga lebih tinggi berbanding apa yang ditetapkan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.
Menurut beliau, fenomena sebegitu tidak seharusnya dibiarkan dan pihak terlibat perlu dikenakan tindakan sebagaimana dilakukan di negara lain yang berdepan masalah serupa.
Media baru-baru ini melaporkan terdapat segelintir individu cuba mengaut keuntungan apabila menjual tiket perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) pada harga lebih tinggi berbanding harga asal RM40, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu, Kelantan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.