KUALA
LUMPURN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hanya
boleh mengembalikan keyakinan awam bahawa beliau tidak bersubahat dalam
kematian tahanan dengan berlaku jujur dan menyatakan perkara sebenar
disebalik kematian A Kugan dan 230 orang lain antara tahun 2000 sehingga
Mei 2013 atau secara terhormat meletakkan jawatannya.
Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng menyatakan demikian
dalam kenyataan hari ini merujuk pada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur yang membuat keputusan bahawa Khalid bertanggungjawab ke atas
kematian Kugan yang diseksa secara fizikal sewaktu soal siasat oleh
pihak polis, 4 tahun lalu.
“Mahkamah telah memutuskan dalam sebuah saman sivil bahawa
Khalid bertanggungjawab. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham juga
menyebut bahawa kecederaan yang dialami Kugan tidak mungkin dilakukan
oleh seorang anggota saja dan pegawai-pegawai senior juga tidak boleh
mengatakan mereka tidak tahu menahu,” katanya.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengecam
Khalid yang tidak profesional dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai
KPN sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kecuaian dibawah
penguatkuasaan beliau.
“Khalid juga ditegur kerana cuba menutup dan mendiamkan
kebenaran dengan mengelak daripada bertanggungjawab ke atas kematian
Kugan pada Januari 2009.
“Mampukah Malaysia mempunyai seorang KPN yang sepatutnya
mendaulatkan undang-undang tetapi telah diputuskan mahkamah sebagai
seorang yang menutup dan mendiamkan kebenaran, cuai dan bertanggungjawab
ke atas kematian dalam tahanan?,” katanya.
Beliau turut menempelak Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi
yang tidak membuat sebarang tindakan berhubung salah laku malah lebih
menyedihkan mempertahankan keganasan polis.
“VT Singham memutuskan supaya ibu Kugan, N Indra menerima
bayaran sebanyak RM851,700 sebagai ganti rugi kesalahan menyerang,
memukul, penahanan yang salah serta penderitaan dan kesakitan yang
ditanggung.
“Namun Zahid Hamidi ketika sidang Parlimen menafikan bahawa
keganasan polis adalah punca kematian dalam tahanan. Zahid mengatakan
bahawa 166 kematian adalah disebabkan penyakit seperti HIV, lelah, sakit
jantung dan hanya 2 orang yang mati dalam tahanan. Dakwaan ini sangat
mengarut,” ujarnya.
Katanya lagi, Zahid seharus mengambil iktibar dari cadangan
Mahkamah supaya menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis
(IPCMC) dengan segera.
“Badan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)
milik BN ternyata tidak berkesan dalam menghalang salah guna kuasa dan
kematian dalam tahanan.
“EAIC hanya sekadar boleh memberikan cadangan kepada badan
disiplin sesebuah agensi penguatkuasaan setelah selesai siasatan, IPCMC
sebaliknya pula boleh mendakwa dan menghukum anggota polis yang
menyalahguna kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.