Oleh Mahdzir Ibrahim
SURAT TERBUKA KEPADA PEMIMPIN UMNO/BN
UMNO-BN, kami sambut kedatangan anda ke alam politik adil pelbagai kaum
Semenjak “kekalahan” BN pada PRU-13 lalu (kerana Pakatan Rakyat mendapat sokongan 51 peratus pengundi), semakin hari semakin ramai pemimpin BN memberikan hujah rasional yang selama ini jarang kedengaran.
Saya difahamkan dua hujah utama, iaitu cadangan agar parti-parti politik dalam BN membuka keahlian kepada pelbagai kaum dan cadangan supaya BN itu sendiri menjadi satu parti pelbagai kaum.
Sebelum ini, pemimpin MCA ada menyuarakan cadangan tersebut, kemudian diikuti pemimpin Gerakan dan terbaru cadangan yang datang daripada pemimpin nombor dua UMNO iaitu Muhyiddin Yassin. Umumnya, kita ucapkan tahniah di atas niat dan kesedaran beliau.
Namun, sebelum apa-apa, adalah wajar untuk para elitis UMNO-BN merenung kembali apa yang berlaku selama lebih 50 tahun mereka memerintah. Apa pun yang ditanam di bibir, hanya Allah SWT mengetahui isi hati mereka.
Pada PRU-13 baru-baru ini, Pakatan Rakyat khususnya DAP benar-benar diasak dengan permainan politik perkauman yang mana ini menjadi budaya yang disemai segelintir elit politik UMNO-BN. Persepsi buruk yang diolah dengan cara yang sangat dahsyat.
Initipati kepada pembinaan persepsi buruk dengan cara menabur fitnah ini hanya untuk satu tujuan, iaitu menggagalkan perjuangan DAP dan Pakatan Rakyat. Pada masa sama untuk meneruskan hegemoni kuasa politik UMNO agar mereka kekal di tampok kuasa zaman berzaman.
Inilah agenda politik UMNO-BN selama ini. Segala dasarnya, baik dalam aspek ekonomi, sosial dan pendidikan juga dimanipulasi menjadi amalan perkauman dalam kempennya. Agenda hodoh ini wajar didedahkan kepada rakyat secara berterusan dan besar-besaran.
Dalam aspek ekonomi misalnya, persepsi buruk dibina tentang DAP seolah-olah DAP menentang dasar yang membabitkan kepentingan kaum Melayu khususnya dalam isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), malah dituduh mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Umum tahu pada dasarnya DAP tidak pernah menentang dasar itu, tidak pernah ada satu fakta yang dikeluarkan DAP berhubung dengan isu itu. Yang ada hanya tohmahan yang sudah dibuktikan di mahkamah bahawa ianya dakwaan palsu.
DAP bersama-sama Pakatan Rakyat, malah bekas pemimpin UMNO sebelum ini hanya mempertikaikan cara pelaksanaannya yang berat sebelah di mana hanya kroni yang untung sedangkan jutaan orang Melayu masih menderita kerana saham tertentu dibolot pihak tertentu.
Masalah rasuah, dapat dilihat bagaimana dana peruntukan untuk golongan Melayu miskin hilang entah ke mana. Masalah ketelusan, kita persoalkan peluang perniagaan yang dimonopoli oleh kelompok tertentu walaupun kelompok elit itu daripada kaum Melayu sendiri. Semua penentangan DAP ini membabitkan soal prinsip dan integriti. DAP tidak mahu orang Melayu menjadi mangsa kerakusan kuasa elit UMNO-BN.
DAP menuntut UMNO-BN menjelaskan ke mana hilangnya saham Bumiputera bernilai RM52 bilion; DAP menuntut UMNO-BN bertindak tegas terhadap pemimpin BN daripada MCA, MIC, UMNO dan sebagainya yang terbabit dalam pelbagai skandal termasuk PKFZ dan NFC yang mencabul amanah wang rakyat.
Kita tidak perlu merasa pelik mengapa dasar integrasi kaum juga masih menjurang hingga ada kumpulan yang tidak tahu menghormati agama dan adat resam sesuatu kaum lain. Malah ada segelintir pemimpin yang secara terang-terangan bukan saja menafikan hak sesuatu kaum, malah menghinanya.
Contoh seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, kumpulan pendesak Perkasa yang secara terang-terangan menghina kaum India dan Cina. Malah ada di kalangan profesional Melayu yang mengatakan bahawa kaum India dan Cina ini sebagai kaum pendatang. Semua gaya politik ini membiak daripada amalan politik perkauman elit pemimpin UMNO.
Inilah latar politik Malaysia yang dibentuk oleh perangai elit pemimpin UMNO yang dibiarkan pemimpin BN, malah disokong pula sejak zaman berzaman.
Sebelum berubah mahu menjadi parti pelbagai kaum, adakah pemimpin UMNO-BN sedar akan semua ini?
Namun demikian, yang jelas hari ini politik perkauman nampaknya sudah tidak lagi popular di kalangan rakyat Malaysia. Buktinya dapat dilihat apabla dengan segala tipu helah, segala tohmahan dan segala manipulasi media massa dalam kempen UMNO-BN, ia gagal menipu semua rakyat. DAP bersama PKR dan PAS terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, undi popular dimenangi PR.
Yang menyokong dan mengundi adalah rakyat Malaysia, sudah tentu termasuk juga sokongan daripada kaum majoriti di Malaysia iaitu Melayu. Sokongan ini tidak datang daripada pekerja undangan dari Bangladesh, Filipina atau Indonesia.
Hakikat yang perlu diketahui adalah, kaum Melayu merupakan kaum yang terbukti daripada segi sejarah boleh menjadi bangsa yang maju setaraf dengan bangsa lain didunia. Tamadun Johor Lama, Pembukaan kota Singapura dan Empayar Melaka membuktikan kaum Melayu bijak, boleh berdikari dan bersaing bebas dengan kaum daripada empayar besar lain.
Jadi mengapa politik hari ini, seolah-oleh mahu menjadikan Melayu sebagai satu bangsa yang berjiwa kecil, takut pada bayang-bayang sendiri dan bergantung kepada ehsan kerajaan? Atas semua senario ini, UMNO-BN sudah tidak punya banyak pilihan kecuali kembali kepada prinsip asas demokrasi iaitu ‘dari rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat’.
Jika benar UMNO-BN mahu berubah:
* Ia mesti membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada semua parti politik yang difitnah selama ini, mintalah maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas amalan politik perkauman anda.
* Ia mesti bebaskan semua dakwaan hasutan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis rakyat.
* Ia mesti mengambil tindakan mahkamah terhadap semua yang terlibat dalam politik perkauman termasuk Utusan Malaysia dan sesiapa sahaja yang menyebarkan hasutan untuk membenci kaum lain.
Jika tidak, niat murni UMNO-BN untuk menjadi parti pelbagai kaum hanya akan menjadi lawak gelap demokrasi Malaysia. Rasa insaf perlu menjadi pra-syarat untuk membasmi perkauman. Politik perkauman yang berdasarkan warna kulit dan sebagainya, hanya akan merosakan masa depan anak-anak kita.
Jangan kita lupa, sungguhpun tune nada pada piano itu terletak pada mata hitam dan putihnya sahaja, bunyi dan iramanya yang tergabung memberikan seribu satu warna yang lain. Itulah lambang kepelbagaian kita, rakyat bangsa Malaysia.
Buat elitis UMNO-BN, kita ucapkan selamat tinggal kepada politik perkauman mereka. – Roketkini.com
* Mahdzir Ibrahim ialah Setiausaha Politik kepada Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.