Rabu, 29 Mei 2013

Tukar Hakim, Kes Nik Nazmi Dibicara 26 Ogos


nik nazmi

PETALING JAYA  : Perbicaraan kes Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perhimpunan aman #Black505 di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lalu dianjak ke 26 Ogos depan.
Perkara ini ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Hayatul Akmal menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaraya dan peguambela.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguambela, Syahredzan Johan dan Afiq Md Nor mewakili Nik Nazmi.

Sebelum ini kes tersebut ditetapkan untuk didengar oleh Hakim, Rozina Ayob di mahkamah sama pada 4 Jun depan di mana Nik Nazmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Hayatul Akmal mengambilalih kes itu daripada Rozina kerana Rozina dan Nik Nazmi mempunyai hubungan kekeluargaan.

Sebelum kes dikendali Hayatul Akmal, Rozina menjelaskan dia dimaklumkan oleh bapanya mengenai perkara itu selepas kes Nik Nazmi disebut buat pertama kali pada 17 Mei lalu.

Sehubungan itu untuk berlaku adil, katanya, kedua-dua pendakwaraya dan peguambela dipanggil untuk memaklumkan bahawa kes tersebut dipindahkan kepada hakim lain.

Di luar mahkamah, Nik Nazmi berkata, barisan peguambelanya akan mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh satu hingga dua minggu untuk pembatalan kes berkenaan.

“Peguambela saya, Syahredzan, Afiq dan Eric Paulsen akan memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi untuk mencabar Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kita akan mencabar kes ini dan pada masa yang sama akan menghadapinya pada 26 Ogos nanti,” katanya.

nik nazmi pc

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.