BELUM pernah sepanjang sejarah pilihan raya umum dan kecil di Malaysia, rakyat menyaksikan dengan penuh jijik, benci dan marah terhadap kempen video lucah, fitnah, samseng, perkauman dan pelbagai kejahatan lagi yang bermunculan dalam suasana PRU13 ini.
Tidak ada rakyat yang waras fikirannya yang menerima kempen jijik seperti ini, bahkan mereka berpendapat bahawa kempen jahat ini adalah jahiliyah, primitif, kehilangan maruah dan harga diri pelakunya.
Ini bukan cara masyarakat dibawa menuju transformasi, tetapi membawa mereka ke zaman jahiliyah dan ini sangat malang bagi sebuah negara yang sudah lebih setengah abad merdeka.
Pelbagai pihak, baik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat prihatin, menyatakan kebencian dan kemarahan yang amat sangat terhadap kempen yang amat buruk dalam sejarah tanah air yang berlaku sekarang.
Mereka bertanya di mana undang-undang, di mana institusi dan penguat kuasa agama serta di mana para ulama, terutama mufti, yang sepatutnya berada di depan dalam menentang kemungkaran ini. Rakyat resah dan terpingapingan melihat perkembangan yang memalukan dan menakutkan ini. Apa yang telah terjadi kepada negara ini, tanya mereka.
Sepatutnya isu yang perlu di ketengahkan dalam kempen ini ialah isu memilih kerajaan yang adil, baik, telus dan amanah, tanpa rasuah, nepotisme, kroni dan unsur penyelewengan. Parti mana yang boleh mendukung konsep ini?
Namun apa yang muncul dan sangat menakutkan ialah tiupan fahaman perkauman – kebencian kaum, fahaman agama yang sempit, rangkaian gerakan samseng yang menakutkan dengan merosakkan harta benda musuh politik mereka, malah keselamatan penyokong politik musuh mereka juga terancam.
Di tengah-tengah itu muncul pelbagai fitnah dan video lucah. Jelas rupanya kecanggihan teknologi baru ini hanya mampu digunakan untuk kerja-kerja jahat seumpama ini.
Dalam hubungan ini NGO Islam utama menolak politik tidak bertamadun ini. Mereka telah mengadakan muzakarah khas baru-baru ini untuk menyatakan pendirian mereka terhadap budaya politik fitnah, lucah, samseng serta rasuah.
Dalam masa yang sama, 14 NGO wanita serta tiga personaliti bergabung tenaga membantah penyebaran video lucah di media.
Bagi mereka, langkah itu satu tindakan yang tidak wajar dan melanggar tatasusila hidup masyarakat negara ini.
Sehubungan itu, mereka mengajak seluruh rakyat, khasnya wanita, menolak mereka yang menggunakan pendekatan begitu dalam kempen mereka.
Mereka menyatakan demikian pada sidang media ‘Bantahan Terhadap Penyebaran Video Lucah Menjelang PRU13’ di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kumpulan wanita ini diketuai oleh Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, Penyelaras Bantahan Bersama NGO Wanita merangkap Naib Ketua Wanita Ikram dan Pengerusi JK Pembangunan Sosial Ikram. Individu perseorangan pula adalah Prof Dr Muhaya Muhammad (pakar motivasi & personaliti TV), Wardina Safiyyah Fadhullah (pengacara dan personaliti TV) dan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin (penulis novel dakwah dan penceramah).
Dua minggu saja lagi rakyat akan mengundi.
Ramai berpendapat ia adalah ibu segala pilihan raya, memandangkan pertarungan yang hebat antara Umno-BN yang hendak mempertahankan kuasanya yang memerintah negara ini selama 56 tahun dan gelombang kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan, daripada sebuah kerajaan yang korup kepada kerajaan yang adil, telus dan amanah.
Lebih menarik dalam PRU kali ini, apabila kira-kira 40 peratus pengundi generasi muda – di bawah 40 tahun – akan mengundi. Persepsi pengundi muda ini, termasuk golongan mahasiswa yang juga sedang bangkit, menolak sama sekali kempen fitnah, lucah, cara samseng, perkauman dan sebagainya.
Maknanya di sini, majoriti rakyat telah bersatu menentang cara kempen PRU yang paling buruk kali ini dalam sepanjang sejarah tanah air. Perlu diingat, pengundi generasi baru berbeza dengan kebanyakan pengundi generasi lama dari segi sikap, persepsi, sistem nilai dan pemikiran mereka mengenai masa depan negara.
Mereka menentang rasis dalam apa bentuk pun, di samping menentang rasuah, penyelewengan, kronisme dan seumpamanya. Mereka ini adalah masa depan negara.
Mereka berfikiran sangat terbuka, tidak sentimental, terdedah dengan pelbagai sumber maklumat daripada media baru, tidak berminat dengan media tradisional, justeru merasakan ‘diperbodoh’ jika mereka menonton berita TV dan membaca akhbar tradisional.
Dengan kempen PRU yang sedang rancak sekarang, kita boleh memerhatikan ke arah mana kecenderungan pengundi generasi baru ini. Sudah jelas mereka menolak kempen rasis, fitnah lucah, gaya samseng dan sebagainya.
Oleh itu jangan terkejut dengan keputusan PRU13 malam 5 Mei nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.