Rabu, 29 Mei 2013

Pekerja jabatan Air 'rasa tak selamat di kawasan setinggan'



 
RCI SABAH Jabatan Air Negeri Sabah bimbang akan keselamatan pekerjanya apabila mereka memasuki kawasan setinggan untuk memotong sambungan haram.

Menurut ketua juruteranya bagi jabatan pengagihan dan kebocoran, Quirine @ Quirinos Jokinol, ini kerana ancaman pernah dibuat terhadap pekerja jabatan itu.

"Keselamatan adalah satu isu, jadi kami lebih suka jika operasi dilakukan bersama dengan pihak polis dan majlis tempatan.

"Berdasarkan pengalaman kami, anggota penguatkuasa kami menerima ancaman terhadap keselamatan mereka apabila mereka memasuki kawasan seumpama itu untuk memotong sambungan haram," katanya kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah.

Beliau berkata, sebahagian besar masalah sambungan haram berlaku di kawasan setinggan di bandar-bandar pantai timur Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Sebelum ini, seorang pegawai majlis tempatan dari Kunak, yang terletak di antara Lahad Datu dan Semporna, berkata terdapat bahagian kawasan setinggan yang mereka tidak masuk kerana ancaman terhadap keselamatan diri mereka.

Sementara itu, Quirine @ Quirinos berkata jabatan itu kerugian RM780,244 kerana perbuatan mencuri air melalui sambungan haram di Sabah dari tahun 2008 hingga 2012.

Ini tidak termasuk "kos yang tidak perlu" seperti membaiki dan menggantikan paip akibat akibat sambungan haram.

Pada tahun 2012, katanya, kerugian dari segi wang serta kos tidak perlu itu, mencecah hampir setengah juta ringgit, dan jumlahnya semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Ditanya oleh pegawai pengendali Azmi Ariffin, beliau berkata jabatan itu tidak boleh mengenakan kompaun terhadap mereka yang menggunakan air dari sambungan haram kerana mereka tidak mempunyai dokumen diri.

Untuk mengeluarkan kompaun ke atas mereka, katanya, pengenalan diri mereka diperlukan.

Katanya, mereka biasanya memotong sambungan pada paip pengagihan dan tidak menjejaknya hingga ke rumah, dan jika mereka berbuat demikian, penduduk tidak ada di situ atau telah "lari".

Sementara itu, seorang saksi, Chia Oi Len memberi keterangan bahawa nombor kad pengenalan lamanya telah digunakan oleh seorang individu yang tidak dikenali, untuk membuka akaun bank.

Chia berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh seorang pegawai Maybank apabila dia cuba untuk membuka akaun di Kota Kinabalu pada tahun 2007.

"Saya tidak tahu siapa orang ini, tetapi akaun itu dibuka di Cheras, Kuala Lumpur. Saya kemudian membuat laporan polis," kata pemilik perniagaan itu.

Chia, 60, berkata beliau sebelum ini telah memiliki "kad pengenalan plastik lama berwarna biru" tetapi telah menukarkannya kepada versi terkini dengan 12 digit, dan menyerahkan IC lamanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk menaik taraf IC beliau kepada versi terkini dan kini dia memegang MyKad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.