Khamis, 30 Mei 2013

Mayat pertama mangsa bot karam ditemui



 
Mayat seorang lelaki berumur 44 tahun yang disenaraikan sebagai antara penumpang bot ekspres 'Kawan Mas' yang karam Selasa lepas, ditemui pagi ini.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata mayat Tujok Lah dijumpai penduduk rumah panjang Uma Tebok, Long Buyun, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat akan dibawa ke Bazar Belaga.

Bakar turut mengingatkan pengguna sungai dan penduduk di sepanjang pinggir Sungai Rajang supaya mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan air dari empangan hidroelektrik Bakun akan dilepaskan untuk menaikkan paras sungai.

Langkah itu, katanya, perlu untuk memudahkan kerja mengangkat bangkai bot ekspres itu dan memeriksa sama ada terdapat mayat yang terperangkap.

"Peningkatan jumlah air akan turut menjadikan arus semakin deras dan saya menasihati pengguna serta dan penduduk berhampiran sungai di kawasan ini supaya lebih berhati-hati," katanya.

Sementara itu Bernama difahamkan operasi bot ekspres antara Kapit dan Belaga dihentikan sementara berikutan tragedi itu.

Bot ekspres Kawan Mas dikatakan membawa lebih 200 penumpang dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit apabila terlanggar batu lalu karam di Jeram Tukok-Jeram Bungan, di Sungai Rajang, antara 8.30 pagi dan 9 pagi Selasa.-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.