KL TODAY
MUAR
– Hasrat seorang wanita untuk menghadiri temuduga di bandar ini tidak
kesampaian apabila terbunuh selepas terlibat dalam nahas membabitkan
dua lori dengan sebuah motosikal di Kilometer 11 Jalan Bukit Pasir-Muar
di sini, semalam.
Mangsa
ialah pembonceng motosikal dikenali Lili Zurainah Bahari, 27,
meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dalam
kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa menaiki motosikal yang
ditunggangi adiknya, Mohamad Khairuddin Bahari, 19, dalam perjalanan ke
tempat temuduga kerja dari rumah mereka di Felda Lenga.
Kejadian
tersebut dipercayai berlaku apabila motosikal mereka merempuh belakang
sebuah lori yang sedang membrek dari arah sama iaitu dari Bukit Pasir
menghala Muar.
Akibat rempuhan kuat itu, motosikal dinaiki hilang kawalan menyebabkan mereka terjatuh ke kanan jalan raya.
Malangnya,
datang sebuah lagi lori dari arah Muar menghala Bukit Pasir tidak
sempat mengelak lalu terlanggar kepala Lili Zurainah.
Kedua-dua
pemandu lori terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,
manakala Mohamad Khairuddin yang cedera pada anggota badan dihantar ke
Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan dan keadaannya
dilaporkan stabil.
Pemangku
Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar mengesahkan menerima
laporan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HPSF untuk
bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
“Kita
meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat
mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.